Tuesday, March 4, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kilang China catat peningkatan dalam tempahan

    BANGKOK, 3 MAC – Pengeluar China melaporkan peningkatan dalam tempahan pada Februari apabila pengimport bergegas untuk mengatasi tarif Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump.

    Data yang lebih kukuh daripada jangkaan itu keluar ketika para pemimpin China berkumpul di Beijing untuk sesi tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan.

    Penggubal undang-undang seperti biasa dijangka menyokong dasar dan keutamaan yang ditetapkan oleh Parti pemerintah Komunis, yang mungkin termasuk beberapa bantuan baharu untuk ekonomi ketika pertumbuhan menjadi perlahan di bawah 5 peratus berdasarkan ramalan ahli ekonomi.

    Trump sebelum ini mengenakan tarif 10 peratus ke atas import dari China dan ia akan meningkat kepada 20 peratus mulai Selasa.

    Tinjauan pengurus kilang menunjukkan indeks pengurus pembelian rasmi China meningkat kepada 50.2 peratus daripada 49 peratus pada Januari, walaupun ia hanya melebihi paras 50 yang menandakan pemisah antara penguncupan dan pengembangan. Indeks tempahan baharu meningkat kepada 51.1.

    Pengeluaran perindustrian yang stabil menunjukkan bahawa perbelanjaan kerajaan dan usaha untuk mengatasi tarif yang lebih tinggi menyokong aktiviti perniagaan yang lebih kukuh bulan lepas, kata Zichun Huang dari Capital Economics dalam satu laporan.

    ‘Namun pertumbuhan masih kelihatan berisiko menjadi perlahan pada suku ini, sekurang-kurangnya sebahagiannya mengurangkan kenaikan pada suku empat Oktober hingga Disember, sebelum kesan daripada tarif dirasai sepenuhnya,” tulis Huang.

    Kenaikan mendadak dalam tarif dan faktor lain telah menimbulkan ketidakpastian mengenai prospek ekonomi kedua terbesar dunia itu, yang berkembang pada kadar tahunan 5 peratus tahun lepas, hanya memenuhi sasaran rasmi Beijing.

    Perdana Menteri Li Qiang akan membentangkan laporan kerja tahunan kepada kongres apabila ia dibuka pada Rabu yang secara tradisinya menyediakan sasaran pertumbuhan tahunan untuk tahun ini, selain dasar dan kemas kini ekonomi lain. – AP

    Produk keluli kelihatan di pasaran keluli di bandar Chongqing, barat daya Chima. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda