KUCHING, 5 JULAI – Sebuah kilang papan lapis di Kuala Baram di Miri yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berhubung jumlah pekerja yang dibenarkan untuk beroperasi telah mencetuskan satu kluster baharu COVID-19 di Sarawak apabila 113 kes positif dikesan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Kluster Industri 121 Kuala Baram itu, yang melibatkan kuarters pekerja kilang terbabit, merupakan antara tiga kluster baharu diisytiharkan Jabatan Kesihatan Sarawak.
“Daripada 113 kes tersebut, 107 terdiri daripada bukan warganegara dan enam warganegara Malaysia dari Sarawak. Kuarters pekerja kilang tersebut diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 1 hingga 15 Julai melibatkan kira-kira 210 orang bagi mengekang perebakan jangkitan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut notis perintah tutup selama 14 hari dari 5 hingga 15 Julai serta kompaun RM10,000 telah dikeluarkan kepada pengurusan kilang atas kesalahan gagal memastikan bilangan pekerja kurang daripada 50 peratus mengikut kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pemba-ngunan Usahawan Sarawak. – Bernama