JAKARTA, 25 OGOS – LG Electronics Korea Selatan telah menutup sementara kilang berhampiran ibu kota Indonesia selepas kira-kira 200 pekerja dijangkiti koronavirus, kata syarikat itu dan seorang pegawai tempatan hari ini.
Kilang Cibitung, yang antara lain menghasilkan pembuatan televisyen, akan ditutup selama sembilan hari selepas kira-kira satu pertiga daripada 600 pekerjanya diuji positif.
LG akan “melakukan langkah pembasmian kuman untuk keseluruhan kawasan di kilang itu untuk keselamatan dan kesihatan pekerjanya,” katanya dalam satu kenyataan.
“Syarikat itu telah menguji semua pekerjanya yang bekerja di kilang, dan hanya mereka yang diuji negatif akan kembali bekerja minggu depan,” kata firma itu.
“Syarikat itu merancang untuk memperkukuhkan penjarakan fizikal dan langkah-langkah keselamatan,” tambahnya.
Jurucakap pasukan petugas koronavirus wilayah itu mengatakan kilang di pinggir Jakarta akan ditutup selama 14 hari jika dianggap tidak selamat bagi pekerja untuk kembali bekerja.
Indonesia telah melaporkan lebih dari 150,000 kes koronavirus dan 6,858 kematian dengan skala pengujian pada tahap yang rendah, di mana anggaran sebenar kes mungkin lebih tinggi. – AFP