COLOMBO, 25 JUN – Ia merupakan hari yang penting bagi Malaysia dan Sri Lanka dengan kehadiran ramai orang kenamaan Sri Lanka diketuai Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe yang melancarkan kilang minyak pelincir campuran bernilai AS$30 juta milik rakyat Malaysia di sini pada lewat semalam.
Majlis pembukaan penuh gilang gemilang kilang di Muthurajawela itu tepat pada masanya sebagai pencetus semangat selepas dua bulan diselubungi kesedihan oleh serangan pengebom bunuh diri pada sambutan Easter di beberapa tempat yang telah meragut nyawa 258 orang di negara pulau itu.
Kilang itu, milik Hyrax Oil Sdn Bhd dan dibiayai menerusi pinjaman daripada Exim Bank Berhad, Malaysia, menandakan penyambungan semula pelaburan di Sri Lanka oleh pelabur Malaysia selepas sejak sekian lama tiada aktiviti dan merupakan pelaburan asing pertama dari Malaysia sejak kerajaan mengambil alih kuasa empat tahun lepas di bawah Presiden Maithripala Sirisena dan Wickremesinghe.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Wickremesinghe memberi penghargaan kepada pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Hyrax Oil, Datuk Hazimah Zainuddin, yang datuknya merupakan warga Sri Lanka yang berasal dari Wilayah Gall.
Hazimah juga merupakan pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), entiti penting yang menyalurkan pinjaman untuk membiayai perusahaan kecil dan sederhana.
“Datuk beliau berasal dari Gall dan kini cucunya kembali untuk melabur di Sri Lanka yang akan meningkatkan hubungan perdagangan dan kebudayaan antara kedua-dua negara kita,” kata perdana menteri sambil disambut sorakan daripada kalangan tetamu yang hadir termasuk menteri, timbalan menteri, gabenor wilayah dan Anggota Parlimen. – Bernama
