HONG KONG – Kilang Papan dan Kayu Balak Chi Kee iaitu kilang papan yang terakhir beroperasi di Hong Kong, sudah lama menghasilkan kayu balak di bandar itu selama 75 tahun.
Kilang perusahaan warisan keluarga yang dekat sempadan wilayah itu bersama tanah besar China mungkin dipaksa untuk ditutup bagi membolehkan projek pembangunan dijalankan.
Keluarga Chi Kee menjalankan operasi pengeluaran kayu balak selama empat dekad dan kini menerima notis pengosongan bangunan pada awal tahun daripada pihak berkuasa.
Berikutan dengan berita penutupan kilang papan dan kayu balak Chi Kee, penduduk Hong Kong berkunjung ke kilang tersebut untuk membeli kayu yang berlonggok tinggi di sekitar kilang itu serta mengumpul kepingan kecil warisan Hong Kong sebagai tanda kenang-kenangan.
Menurut akhbar tempatan South China Morning Post melaporkan Chi Kee sepatutnya mengosongkan kilang tersebut pada 30 Jun lalu namun berhadapan dengan masalah timbunan kayu balak yang banyak.
Kini kilang pertukangan kayu seperti Chi Kee sudah menjadi industri yang merosot di Hong Kong, sekarang perabot import yang dipasarkan secara besar-besaran sudah mudah diperoleh.
Kebanyakan kilang papan menutup perusahaan mereka dan ada yang berpindah ke China disebabkan oleh kos pembuatan dan pengeluaran yang lebih murah.
Kilang papan dan kayu Chi Kee dibina pada tahun 1947, menjadikannya antara kilang pembuatan pertama dalam industri pertukangan kayu serta terkenal dengan operasi pembuatan perabot.
Kilang pertama Chi Kee dibuka di kepulauan Hong Kong dan berpindah ke daerah pedalaman di Kwu Tung.
Kwu Tung kini dalam perangkaan pelan pembangunan Metropolis Hong Kong Utara.
Pelan itu merupakan suatu rangka tindakan untuk menjadikan Kwu Tung sebagai pusat IT yang dijangka akan menyediakan ribuan pekerjaan baharu dan pembangunan perumahan di kawasan yang ramai penduduk itu, sekali gus menjadikannya pasaran hartanah termahal.
Rangka tersebut juga bertujuan untuk mengintegrasikan ekonomi Hong Kong, bekas tanah jajahan British, dengan daerah Shenzhen di seberang sempadan.
“Dulu kami menyangka Kwu Tung sebagai satu kawasan pedalaman yang tidak akan terjejas dengan pembangunan moden, tapi tiada siapa yang tahu apa akan terjadi di masa hadapan,” kata pengarah kilang papan dan kayu balak Chi Kee, Wong Hun-kuen.
“Kami perlu akur pada arahan kerajaan kerana tanah ini milik mereka. Kami berharap akan mendapat bantuan dan belas ihsan daripada pihak kerajaan,” kata Wong, yang bercita-cita menjadikan kilang papan Chi Kee sebagai sebuah muzium.
Biro Pembangunan Hong Kong, bertanggungjawab dalam pelan pembangunan bandar, berkata dalam satu kenyataan bahawa Kilang Papan dan Kayu Balak Chi Kee telah diberi notis untuk mengosongkan kilang pada tahun 2021 namun dilanjutkan hingga akhir bulan Jun lalu.
“Pelanjutan perintah pengosongan kilang sepatutnya memberi masa yang cukup untuk mereka mencari tempat pemindahan dan kerja-kerja pengosongan kilang,” katanya.
Chi Kee telah mendapat tawaran pampasan tanah, pampasan gangguan operasi disebabkan oleh pelan pembangunan dan kerana memberi kerjasama, jelas biro tersebut.
Pegawai setempat menawarkan bantuan untuk membuang sisa kayu balak tetapi Wong ingin membuat perabot daripada kayu-kayu balak tersebut agar tidak berlaku pembaziran.
Untuk masa sekarang belum diketahui bila Chi Kee akan memberhentikan pengeluaran kayu papan dan kayu balak selama-lamanya.
Seorang pembantu professor di Universiti Hong Kong, Yu Ka-Sing, berkata walaupun kilang tersebut mendapat sambutan daripada orang awam namun agak susah untuk dipertahankan kerana kilang itu kurang menghasilkan seni bina berbentuk sejarah.
Namun bagi mereka yang mengunjungi hari terakhir operasi kilang Chi Kee menganggap kilang tersebut sebagai satu warisan negara dan menganggap walau sekeping kecil kayu balak menyumbang kepada pembangunan negara.
“Saya rasa kasihan dengan kilang Chi Kee. Ia adalah satu-satunya kilang papan tradisional yang masih beroperasi dan tidak lama lagi akan dirobohkan,” kata seorang pengunjung. – AP