SEOUL, 29 DIS – Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengadakan mesyuarat pegawai parti pemerintah tertinggi, kata media negeri hari ini, sebelum tarikh akhir hujung tahun untuk Washington mengubah dasarnya mengenai rundingan nuklear yang terbuntu.
Sesi plenari, yang bermula semalam, menyusuli spekulasi mengatakan Pyongyang sedang bersiap sedia untuk menguji peluru berpandu balistik antara benua, sebagai ‘hadiah Krismas’ untuk Washington.
Kim mempengerusi mesyuarat yang membincang ‘dasar baharu yang telus, anti-imperialis,’ lapor Agensi Berita Korea (KCNA).
Parti Pekerja Korea juga “membincang perkara penting yang timbul dalam pembinaan kerajaan dan pertahanan negara,” tambah KCNA.
Rundingan mengenai pembebasan nuklear di semenanjung Korea telah terbuntu sejak sidang kemuncak kedua di antara Kim dan Presiden AS Donald Trump menemui kegagalan di Hanoi pada awal tahun ini.
Pembukaan plenari diadakan seminggu selepas Kim mengadakan mesyuarat pegawai tinggi pertahanan dan membincang menambah kekuatan tentera, dan sebelum ucapan Tahun Baharu pada 1 Januari, satu acara politik utama di negara tersisih itu.
Pyongyang telah melancarkan beberapa siri ujian statik di pusat roket Sohae pada bulan ini, selepas beberapa pelancaran senjata dalam beberapa minggu ini, ada di antara mereka dianggap sebagai peluru berpandu balistik oleh Jepun dan negara lain.
Mesyuarat berterusan mungkin mendorong Pyongyang mengumumkan ‘peralihan dasar utama’ daripada pendekatan sebelumnya dengan AS, kata Hong Min, penyelidik kanan di Institut Penyatuan Nasional Korea yang dikendalikan oleh Selatan. – AFP
