Pelakon dan penyanyi Kim Jong Kook telah berkongsi khabar gembira, dia bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
Menulis sendiri ucapan pengumuman itu, Jong Kook, 49, memberitahu ia juga sebagai satu berita sempena ulang tahun ke-30 penglibatannya dalam dunia seni.
“Saya akan berkahwin!, sejujurnya saya sudah memberi bayangan kecil sebelum ini, namun saya pasti akan ada yang merasakan ini satu berita yang mengejutkan”.
“Ini merupakan tahun ke-30 kemunculan saya, dan saya tidak menghasilkan album seperti yang dimahukan, tetapi ‘menghasilkan’ pasangan hidup,” katanya.
Menurut laporan mStar, menerusi surat yang ditulis itu juga Jong Kook memberi bayangan dia sudah lama bersedia untuk berkongsi perkara sebegini.
Dia juga meminta peminat terus memberi sokongan dalam menempuh fasa baharu dalam kehidupan selepas ini.
“Walaupun sudah mempersiapkan hati bahawa suatu hari nanti akan menulis dan berkongsi surat ini, saya rasa jauh lebih gementar daripada apa yang pernah bayangkan. Sekarang apabila saya benar-benar sedang menulisnya.
“Terima kasih kepada para peminat yang telah menjadi kekuatan terbesar saya selama ini. Saya akan berkahwin dan memulakan cabaran baru dalam hidup,” luahnya.
Difahamkan majlis tersebut akan berlangsung dalam masa terdekat dan dilakukan secara tertutup, dan hanya akan dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan rapat. – Agensi


