Walaupun usianya hampir mencecah 50 tahun namun pelakon dan penyanyi Kim Jong Kook belum berhenti berharap bertemu jodoh dan membina sebuah keluarga bahagia.
Jong Kook, 48, berkata, dia akan cuba mencari pasangan sesuai dan mendirikan rumah tangga secepat mungkin.
Peserta program Running Man itu memberitahu perkara tersebut ketika menghadiri acara SBS Entertainment Awards 2023 yang berlangsung pada Sabtu lalu.
“Saya tidak tahu bila tetapi saya akan cuba melakukannya secepat mungkin,” katanya.
Bagaimanapun menurut laporan mStar, jawapan diberikan Jong Kook itu mengundang hilaian ketawa rakan-rakan yang duduk semeja dengannya kerana mengatakan pelakon itu memberi jawapan sama sejak 20 tahun lalu.
Malah rakan baiknya iaitu Yoo Jae Suk secara bergurau memberitahu sudah penat menunggu bila Jong Kook akan menamatkan zaman bujangnya.
Sebelum ini, peminat pernah cuba menjodohkan Jong Kook dengan Song Ji Hyo dengan menggelarkan mereka Spartace couple.
Namun Jong Kook hanya menganggap aktres itu sebagai seorang adik perempuan. – Agensi
