SEOUL, 1 Jan – Korea Utara tidak menolak kemungkinan untuk mengubah pendekatannya, jika Amerika Syarikat (AS) terus menguatkuasa sekatan ke atas negara itu.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengeluarkan amaran itu dalam ucapan sempena sambutan tahun baharu, semalam, iaitu kira-kira 12 bulan selepas melaksanakan pemulihan hubungan baik diplomatik.
“Jika Amerika Syarikat tidak mengotakan janji yang dibuat di hadapan seluruh dunia dan bertegas untuk terus melaksanakan pelbagai sekatan serta tekanan ke atas negara ini.
“Kita mungkin tidak mempunyai pilihan lain tetapi untuk mempertimbangkan kaedah baharu bagi melindungi kedaulatan dan kepentingan kita,” kata Jong-un.
Jong-un berkata demikian ketika merujuk kepada sidang kemuncak bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Singapura pada Jun lalu.
Trump menganggap pertemuan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan secara membina.
Pada sidang kemuncak itu, Trump dan Jong-un menandatangani ikrar untuk menamatkan program nuklear di Semenanjung Korea, tetapi usaha itu terjejas selepas Pyongyang dan Washington bertelagah mengenai tujuan sebenar perjanjian itu. – AFP
