Kim Kardashian bangga lulus ujian Bar

Selebriti media sosial dan usahawan terkenal antarabangsa, Kim Kardashian melahirkan rasa gembira selepas lulus peperiksaan undang-udang (Bar) sekali gus menyaksikan dirinya semakin hampir bergelar seorang peguam di California.

Menurut Kim dalam satu hantaran di akaun Instagramnya semalam, ia adalah percubaan kali keempatnya sebelum akhirnya berjaya dan lulus.

“Menatap di balik cermin, saya sebenarnya sangat bangga melihat refleksi wanita di cermin itu. Bagi mereka yang tak tahu mengenai perjalanan pengajian undang-undang yang saya lakukan, ketahuilah bahawa semua ini tidak mudah,” katanya.

Menurut Kim, sepanjang laluan itu juga dia turut diuji dengan jangkitan COVID-19 menerusi satu daripada percubaannya untuk menduduki peperiksaan tersebut.

“Saya diberitahu oleh beberapa peguam terhandal bahawa ini adalah satu usaha yang sangat mustahil selain lebih sukar berbanding laluan pengajian undang-undang tradisional. Tetapi ia merupakan satu-satunya pilihan yang saya ada dan perasaannya sangat berbaloi sekarang.

“Saya kini sedang dalam perjalanan untuk meraih impian saya,” katanya.

Selain itu, Kim juga mengaku bertemu dengan sahabatnya, pengulas berita CNN, Van Jones yang bertanggungjawab memujuknya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang ini.

Selain Van Jones, Kim juga berterima kasih kepada sahabat-sahabat peguamnya yang lain termasuk Jessica Jackson,Edy Haney dan professor, Sam Farkas serta Chuck Shonholtz.

Merujuk kepada mendiang bapanya, Robert Kardashian, bekas peguam yang terkenal membela O.J Simpson dalam satu kes pembunuhan, Kim percaya, bapanya mungkin akan turut berasa gembira dan berbangga dengan pencapaiannya ini. – Agensi

Kim Kardashian melahirkan rasa gembira selepas lulus peperiksaan Bar sekali gus menyaksikan dirinya semakin hampir untuk bergelar seorang peguam di California. – Agensi