Bintang realiti Kim Kardashian didakwa terpaksa menutup akaun YouTube milik anak lelakinya selepas kanak-kanak itu memuat kandungan video berunsur politik.
The Daily Beast melaporkan Kim, 44, bertindak sedemikian susulan tindakan Saint West membuat perkongsian mengejek calon presiden Kamala Harris.
Menurut sumber, akaun tersebut sudah tiada lagi dalam paparan laman berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Menerusi hantaran tersebut, Saint dikatakan berkongsi ilustrasi menunjukkan gambar Kamala dipijak dan disamakan dengan najis untuk tujuan jenaka.
Bagaimanapun, gurauan kanak-kanak berusia lapan tahun itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Tidak kurang juga ada yang mengaitkan perbuatan Saint menggambarkan sokongan ayahnya, Kanye West terhadap lawan Kamala iaitu Donald Trump yang turut merebut jawatan presiden.
“Kecil-kecil lagi dah pandai ambil tahu fasal politik!
“Mesti ayah dia bangga tengok Saint mengejek Kamala,” komen warganet.
Sebelum ini, Kim mendedahkan ia bersetuju untuk membenarkan Saint membuka akaun YouTube sendiri sekiranya anaknya mematuhi beberapa syarat.
Antaranya syarat ditetapkan adalah Saint dilarang merakam mahupun memuat naik maklumat keluarga serta harus mendapatkan kebenaran Kim sebelum berkongsi sebarang video. – Agensi