SEOUL, 30 SEPT – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un melahirkan kesediaan untuk memulihkan semula talian komunikasi dengan Korea Selatan dalam masa beberapa hari akan datang, namun dalam masa yang sama mengetepikan tawaran Amerika Syarikat (AS) untuk dialog yang dianggapnya sebagai ‘cara licik’ untuk menyembunyikan perseteruannya dengan Utara, media kerajaan itu melaporkan hari ini.
Kenyataan Kim adalah usaha jelas untuk membangkitkan kemarahan antara Seoul dan Washington, ketika dia mahu Korea Selatan membantunya mendapatkan pelepasan daripada sekatan ekonomi diketuai AS yang melumpuhkan konsesi lainnya. Pyongyang bulan ini menawarkan rundingan bersyarat dengan Seoul, meskipun dalam masa yang sama, melancarkan misil pertamanya dalam masa enam bulan dan mempertingkatkan kritikan ke atas AS.
Semasa ucapan di sidang parlimen negaranya kelmarin, Kim mengatakan pemulihan akan dijalankan ke atas talian hotline rentas sempadan seawal Oktober – yang sebahagian besarnya dorman selama lebih setahun – untuk merealisasikan harapan rakyat Korea bagi perdamaian antara dua Korea, menurut agensi Korean Central News Agency (KCNA)
Kim juga menyeru Selatan mengabaikan dasar berseterunya manakala mengenai AS, Kim menolak tawaran untuk menyambung rundingan tanpa prasyarat, menggelarnya satu usaha untuk menyembunyikan ‘dasar berseteru’ dan ‘ancaman tentera AS’ yang menurutnya masih tidak berubah. – AP
