Bintang realiti Amerika iaitu Kim Kardashian meminta penyanyi rap Kanye West menasihatkan isterinya agar berpakaian sopan ketika anak-anak berada di rumah mereka.
Daily Mail melaporkan Kim berasa tidak selesa isteri Kanye iaitu Bianca Censori berpakaian tidak sopan apabila melihat fesyen digayakan ketika muncul di khalayak ramai.
“Kim tak selesa anak-anak mereka melihat Bianca berpakaian tidak sopan.
“Malah dia terkejut melihat fesyen Bianca yang dianggap tidak sesuai dilihat oleh kanak-kanak,” kata sumber terdekat bintang realiti tersebut.
Kim bagaimanapun memahami situasi dihadapi Bianca kerana sudah faham sikap bekas suaminya itu.
“Saya juga pernah menghadapi apa Bianca lalui sekarang tetapi merasakan wanita itu sepatutnya lebih bertegas dan tahu apa terbaik untuk dirinya,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, warganet meluahkan rasa simpati terhadap Bianca kerana menganggap wanita berkenaan menjadi mangsa penderaan psikologi Kanye.
Kanye meminta supaya Bianca mengubah penampilannya jika keluar bersamanya.
Untuk rekod, Kim mendirikan rumah tangga dengan Kanye pada Mei 2014 namun berpisah selepas enam tahun berkahwin.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu North, Saint, Chicago dan Psalm West. – Agensi