SEOUL, 4 MEI – Bekas Menteri Buruh Korea Selatan, Kim Moon Soo dipilih sebagai calon presiden bagi parti konservatif utama negara, Parti Kuasa Rakyat (PPP), dalam pemilihan yang diadakan pada 3 Jun nanti. Kim akan berdepan saingan sengit dengan calon liberal, Lee Jae-myung, yang kini mendahului dalam tinjauan pendapat.
Kim memenangi 56.5 peratus undian dalam pemilihan utama parti kelmarin, mengalahkan Han Dong-hun, pencabar utamanya. Kim kini menjadi harapan utama blok konservatif untuk menerajui pentadbiran negara selepas krisis yang menewaskan Presiden Yoon Suk Yeol.
Dalam ucapan kemenangannya, Kim berjanji untuk membentuk pakatan yang kuat demi menghalang pemerintahan Lee Jae-myung dan Parti Demokratik. Dia juga komited untuk memenuhi kehendak rakyat dan ahli parti bagi memastikan kemenangan konservatif.
Kim, yang berusia 73 tahun, memiliki latar belakang sebagai aktivis buruh dan telah berkhidmat sebagai Gabenor Wilayah Gyeonggi serta Ahli Parlimen selama tiga penggal.
Sebelum ini, Kim mengakui dia meninggalkan cita-citanya untuk menjadi seorang ‘revolusioner’ selepas kejatuhan negara komunis.
Pemilihan tersebut diadakan bagi mencari pengganti Presiden Yoon Suk Yeol, yang dipecat oleh Mahkamah Perlembagaan pada April setelah diluluskan usul pemecatannya oleh Perhimpunan Kebangsaan yang dikuasai pembangkang. Keputusan Yoon untuk mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember lalu menjadi punca kepada pemecatannya.
Kim menentang pemecatan Yoon walaupun tidak bersetuju dengan pengisytiharan undang-undang tentera. Tindakannya menolak permintaan pembangkang agar semua menteri kabinet memohon maaf di Dewan Negara telah meningkatkan sokongannya dalam kalangan pengikut konservatif.
Pencabar utama Kim, Han Dong-hun, merupakan bekas Menteri Kehakiman yang memimpin anggota reformis dalam PPP. Kumpulan tersebut menyokong langkah pembangkang untuk memecat Yoon. Tanpa sokongan mereka, usul pemecatan Yoon tidak akan mendapat majoriti yang diperlukan.
Kim berjanji untuk membanteras rasuah, mereformasi sistem kewangan, serta meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk infrastruktur Kecerdasan Buatan. Dia juga bercadang mengekalkan hubungan pertahanan kukuh dengan Amerika Syarikat dan memperkenalkan kapal selam berkuasa nuklear sebagai tindak balas kepada ancaman Korea Utara. – AP
