Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kim Moon-soo sah calon presiden PPP

    SEOUL, 11 MEI – Parti Kuasa Rakyat (PPP) Korea Selatan secara rasmi mendaftarkan bekas Menteri Buruh, Kim Moon-soo, sebagai calon presidennya hari ini, sehari selepas parti itu cuba membatalkan pencalonannya.

    PPP yang memerintah, telah mengalami kekacauan sejak bekas presiden Yoon Suk Yeol digulingkan selepas dia mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember lalu.

    Minggu lalu, Kim memenangi pemilihan dalaman PPP untuk bertanding sebagai calon presiden parti dalam pilihan raya yang dijadualkan pada 3 Jun.

    Namun, sebelum subuh kelmarin, pencalonannya telah dibatalkan dan parti itu cuba menggantikannya dengan bekas Perdana Menteri Han Duck-soo, yang sebelum ini meletak jawatan untuk bertanding sebagai calon bebas. Percubaan itu bagaimanapun gagal apabila ahli-ahli parti menolak usul untuk menukar calon presiden daripada Kim kepada Han – sekali gus secara automatik mengembalikan status Kim sebagai calon rasmi.

    “Hari ini, saya telah menyelesaikan proses pendaftaran sebagai calon presiden. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakyat yang mengambil berat serta rakan-rakan seperjuangan parti,” kata Kim kepada pemberita selepas mendaftar di Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan.

    Kim Moon-soo (kanan) dan Han Duck-soo, bergambar semasa pertemuan di Seoul, Korea Selatan, pada 8 Mei. – AFP

    “Pilihan raya presiden kali ini amat penting kerana ia akan menentukan siapa yang mampu mengatasi krisis yang sedang dihadapi negara kita dan berusaha demi kebahagiaan rakyat,” kata tokoh berusia 73 tahun itu.

    “Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk meraih kemenangan dan memimpin Korea Selatan menjadi sebuah negara yang lebih cemerlang,” tambahnya.

    Kim turut memaklumkan bahawa dia dijadualkan bertemu Han di ibu pejabat parti selepas itu dan menegaskan bahawa dia akan berusaha memanfaatkan sepenuhnya ‘kebolehan luar biasa’ Han.

    Dalam satu sidang media berasingan, Han mengumumkan pengundurannya.

    “Saya menerima segalanya dengan rendah hati dan menghormati keputusan yang telah dibuat. Saya dengan ikhlas mendoakan kejayaan calon Kim Moon-soo dari Parti Kuasa Rakyat dan para penyokongnya dalam pilihan raya ini,” kata Han.

    “Kini, saya berundur daripada segalanya dan kembali menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa.” Tarikh akhir pendaftaran calon dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan akan ditutup lewat hari ini.

    Penganalisis berkata, golongan konservatif negara itu perlu bersatu di belakang seorang calon tunggal bagi mengelak kemenangan besar pihak pembangkang dalam pilihan raya, memandangkan Lee Jae-myung dari Parti Demokratik kini mendahului dalam tinjauan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda