Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kim puji hubungan Rusia menjelang lawatan Putin

    SEOUL, 12 JUN – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un hari ini memuji hubungan negaranya dengan Rusia, berkata kedua-dua negara adalah ‘rakan seperjuangan yang tidak dapat dikalahkan’, di tengah-tengah laporan bahawa Presiden Vladimir Putin akan melawat Pyongyang tidak lama lagi.

    Kim mengadakan lawatan luar negara yang jarang berlaku untuk bertemu Putin di timur jauh Rusia tahun lalu, dengan Seoul dan Washington seterusnya mendakwa Pyongyang menghantar senjata ke Moscow untuk digunakan di Ukraine, sekali gus melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sebagai balasan untuk bantuan teknikal dengan program satelitnya.

    Putin dijangka akan mengadakan lawatan balas ke Korea Utara dalam beberapa hari akan datang, selepas Kremlin memberitahu media Rusia pada Mei bahawa lawatan itu ‘sedang diatur’.

    Agensi berita Korea Selatan, Yonhap melaporkan lawatan itu mungkin diadakan ‘seawal minggu depan’, sebagai sebahagian daripada lawatan yang juga termasuk persinggahan di Vietnam.

    Hubungan antara Korea Utara dan Rusia telah “berkembang menjadi hubungan yang tidak boleh diputuskan sebagai rakan sejati,” tulis pemimpin Kim dalam mesej kepada Putin yang disiarkan dalam agensi berita Korea hari ini.

    Hubungan ‘bermakna’ mereka akan mengeratkan lagi mercu tanda bersejarah dalam era baharu, tambah Kim.

    Yonhap berkata bahawa imej satelit menunjukkan tanda-tanda kemungkinan struktur besar sedang dipasang di Dataran Kim Il Sung di Pyongyang.

    Aktiviti sedemikian sebelum ini telah diperhatikan ketika Korea Utara sedang bersiap sedia untuk acara berskala besar di ibu negara, seperti perarakan tentera atau lawatan oleh tokoh asing berpangkat tinggi, menurut Yonhap. – AFP

    Vladimir Putin (kanan) dan Kim Jong Un berjabat tangan semasa pertemuan mereka di kosmodrom Vostochny di luar bandar Tsiolkovsky di rantau Amur, Rusia pada 13 September 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda