Hasrat mendiang Kim Sae Ron untuk membuka sebuah kafe tidak kesampaian apabila dia ditemukan mati di kediamannya pada Ahad lalu.
Menurut seorang rakan terdekat, impian tersebut pernah disuarakan sebelum ini dan ia menjadi salah satu impian Sae Ron.
“Kim Sae Ron merancang untuk membuka kafe bersama seorang teman rapatnya. Dia juga sedia untuk kembali dalam dunia hiburan. Saya tidak percaya dengan berita tragis ini,” ujar kenalan berkenaan.
Malah Sae Ron juga dikatakan telah menukar namanya kepada Kim Ah Im sebagai satu permulaan baharu selepas lama tidak berlakon.
Rakannya juga memberitahu aktres itu tidak menunjukkan sebarang tanda curiga yang mungkin boleh membawa kepada insiden dia meninggal dunia.
“Saya bertemunya hujung tahun lalu. Dia menukar nama dan sedia untuk permulaan baru. Kami berbincang bagaimana dia mahu teruskan aktiviti seni selepas ini,” ceritanya.
Sae Ron pernah memperlahankan kerjaya seni selepas terlibat dengan kes kemalangan di bawah pengaruh alkohol pada tahun 2022.
Pada Ahad, Kim Sae Ron, 24, ditemukan mati di rumahnya di Seongsu-dong, Timur Seoul kira-kira pukul 4.55 petang.
Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah berhubung kematiannya. – Agensi
