SEOUL, 21 MAC – Korea Utara melancarkan ujian sistem peluru berpandu anti-pesawat terbaharunya dalam satu latihan yang disaksikan oleh pemimpin Kim Jong Un, lapor media hari ini, ketika negara bersenjata nuklear itu mengecam latihan bersama Amerika Syarikat (AS)-Korea Selatan.
Pelancaran itu membuktikan ‘tindak balas cepat dalam pertempuran’ sistem berkenaan, kata Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), dan hal ini berlaku sehari selepas Korea Selatan menamatkan latihan ketenteraan bersama tahunan yang besar dengan AS, Freedom Sheild.
Kim memuji sistem anti-pesawat terbaharu itu, dengan berkata tentera Korea Utara akan ‘dilengkapi dengan satu lagi sistem senjata pertahanan utama dengan prestasi pertempuran yang terpuji,’ menurut kenyataan KCNA.
Ia tidak menyebut di mana ujian tersebut dijalankan. Seoul minggu lalu berkata bahawa Korea Utara telah melancarkan ‘beberapa peluru berpandu balistik yang tidak dikenalpasti’ selepas ia memulakan latihan bersama yang melibatkan tentera AS yang ditempatkan di Korea Selatan. – AFP
