HAENAM, 19 OKT – Kim Sei-young dari Korea Selatan telah menamatkan kemarau kemenangan LPGA selama lima tahun apabila muncul sebagai juara di negaranya sendiri, dengan kelebihan empat pukulan pada Kejohanan BMW Wanita, hari ini.
Kim mendahului sejak pusingan pertama hingga terakhir di Pine Beach Golf Links yang terletak di barat daya Korea Selatan dan berjaya menjulang trofi kemenangan selepas menamatkan saingan di hadapan pemain Jepun, Nasa Hataoka.
Kejayaan itu merupakan gelaran pertama buat pemain berusia 32 tahun itu sejak tahun 2020 iaitu tahun yang sama dia memenangi satu-satunya kejuaraan besar bagi Kejohanan PGA Wanita serta dinobatkan sebagai Pemain Terbaik LPGA.
Kim memulakan hari terakhir dengan kelebihan empat pukulan, namun satu bogey di lubang ketiga memberi harapan kepada pencabar lain.
Dia segera memadamkan peluang itu dengan melakukan enam birdie, termasuk tiga berturut-turut, untuk menamatkan pusingan akhir dengan lima di bawah par (67). – AFP


