Pelakon Kim Soo Hyun bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan khabar angin dan kandungan berunsur fitnah.
Allkpop melaporkan, agensi Soo Hyun iaitu Gold Medalist memaklumkan pihaknya sudah memfailkan laporan kepada pihak berkuasa atas dakwaan menyebarkan berita palsu.
Ujarnya, fitnah yang disebarkan di media sosial telah mencemarkan nama baik Soo Hyun sebagai seorang selebriti.
“Baru-baru ini, terdapat banyak siaran berniat jahat, komen dan maklumat palsu tentang Soo Hyun yang dimuat naik serta disebarkan secara maya.
“Spekulasi tidak berasas itu telah mengelirukan orang ramai dan merosakkan reputasi artis kami dengan teruk.
“Berdasarkan laporan peminat aktif dan pemantauan pihak kami, kami menyerahkan aduan jenayah pada 14 April atas dakwaan memfitnah di bawah Akta Rangkaian Maklumat dan Komunikasi,” katanya dalam sebuah kenyataan rasmi.
Dalam pada itu, wakil agensi Soo Hyun turut memberitahu mereka akan bekerjasama dengan platform media termasuk YouTube dan X bagi mencari dalang di sebalik penyebaran fitnah di media sosial.
“Individu ini mengeksploitasi cerita untuk menghasilkan berita palsu yang direka supaya menjadi tular.
“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap tindakan sedemikian melalui kerjasama dengan pihak YouTube dan wakil undang-undang antarabangsa termasuk platform X,” ujarnya.
Sebelum ini, Soo Hyun secara terbuka menafikan dakwaan dia pernah bercinta dengan mendiang Kim Sae Ron ketika aktres berkenaan masih di bawah umur.
Menerusi sidang media yang diadakan di Hotel Stanford, Seoul, Korea Selatan pada 31 Mac lalu, aktor berkenaan memberitahu dia dan Sae Ron menjalin hubungan cinta selama setahun pada 2020. Selain itu, Soo Hyun dikatakan mendesak Sae Ron untuk menjelaskan hutang yang tinggi kepada syarikat pengurusannya.
Isu melibatkan Soo Hyun kini hangat menjadi bualan selepas dia didakwa menjadi punca kematian Sae Ron.
Pada 16 Februari lalu, Sae Ron ditemukan mati di rumahnya di Seongsu-dong, Korea Selatan pada hari jadi ke-37 Soo Hyun. – Agensi
