Pelakon Won Bin dilaporkan cuba melangsaikan hutang milik mendiang aktres Kim Sae Ron sebanyak 700 juta KRW kepada bekas syarikat pengurusannya iaitu Gold Medalist.
Media mStar melaporkan hutang itu dituntut agensi milik pelakon Kim Soo Hyun selepas pihak pengurusan menyelesaikan kes Sae Ron yang ditahan akibat memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kerosakan harta awam sekitar Mei 2022.
Bagaimanapun niat baik Won Bin, 48, tidak disambut baik oleh pihak Soo Hyun yang enggan menerima wang daripada aktor tersebut.
Sebaliknya Soo Hyun bertegas mahu Sae Ron menyelesaikan sendiri hutang tersebut kepada syarikat.
Pendedahan itu dilakukan dalam ruangan komen video milik YouTube Garosero Institute mengenai tindakan Soo Hyun yang cuba menganiaya Sae Ron sebelum aktres itu pergi buat selama-lamanya.
Sebelum ini, tular mesej Sae Ron merayu kepada Soo Hyun agar diberi masa menyelesaikan hutangnya secara ansuran namun Soo Hyun tidak membalas mesej berkenaan.
Menerusi strim secara langsung sebelum ini di YouTube, Ga Se Yeon pula mendakwa Soo Hyun dan Sae Ron menjalin hubungan cinta selama enam tahun sejak mendiang berusia 15 tahun.
Bagaimanapun, Gold Medalist menafikan dakwaan tersebut dan bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap saluran YouTube berkenaan.
Pada 16 Februari lalu, Sae Ron ditemukan mati di rumahnya di Seongsu-dong, Korea Selatan. Polis mengesahkan pihak tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian. – Agensi
