SEOUL, KOREA SELATAN, 29 OGOS – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menggesa tenteranya supaya sentiasa bersedia untuk pertempuran bagi menghalang rancangan pencabarnya untuk menyerang negaranya, kata media negara hari ini, ketika Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun mengadakan latihan tentera laut tiga hala untuk menghadapi ancaman nuklear Korea Utara yang semakin meningkat.
Tentera AS dan Korea Selatan telah mengadakan latihan dua hala antara dua negara sejak minggu lalu. Korea Utara menganggap latihan yang membabitkan AS sebagai satu latihan serangan, walaupun Washington dan sekutunya menegaskan bahawa latihan mereka adalah untuk tujuan pertahanan.
Kim berkata dalam ucapan sempena Hari Tentera Laut negara itu kelmarin bahawa perairan di Semenanjung Korea telah menjadi tidak stabil ‘dengan risiko peperangan nuklear’ disebabkan oleh ancaman yang diketuai oleh AS, menurut agensi berita pusat Korea.
Dia menuduh AS menjalankan latihan tentera laut yang ‘lebih terdesak’ bersama sekutunya dan menghantar aset strategik di perairan sekitar Semenanjung Korea.
Kim juga memetik sidang kemuncak AS – Korea Selatan – Jepun di mana persetujuan untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dicapai untuk menentang program nuklear Korea Utara.
Kim menggelar Presiden Joe Biden, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeo dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida sebagai ‘ketua geng’ tiga negara tersebut.
“Situasi semasa mewajibkan tentera laut kami untuk memberikan segala usaha dalam meningkatkan tahap penyediaan perang untuk memastikan kesiagaan pertempuran yang berterusan dan bersedia untuk mematahkan semangat musuh untuk berperang dalam keadaan di luar jangkaan,” kata Kim. – AP
