SEOUL, 3 Mei – Gambar satelit menunjukkan aktiviti telah diteruskan di tapak ujian nuklear Korea Utara, kata penganalisis yang berpangkalan di AS semalam, tatkala ketegangan masih tinggi disebabkan kebimbangan ujian nuklear keenam oleh negara penyendiri itu.
Gambar tapak Punggye-ri yang diambil pada 25 April menunjukkan pekerja mengeluarkan air di sebuah terowong yang dipercayai disediakan untuk ujian nuklear akan datang, kata kumpulan pengawas 38 North.
Sejumlah besar kakitangan juga dapat dilihat di seluruh kawasan, dengan beberapa kumpulan bermain bola tampar, dalam apa yang mungkin merupakan pemandangan propaganda.
“Masih tidak jelas sama ada aktiviti ini menandakan satu ujian nuklear telahpun dibatalkan, kemudahan berada dalam mod sedia tunggu ataupun satu ujian akan diadakan tidak lama lagi,” kata penyelidik daripada Institut AS-Korea di Universiti Johns Hopkins.
Pekerja juga didapati bermain bola tampar di berek pengawal dan dua kawasan lain di tapak dalam gambar satelit yang diambil pada 19 dan 21 April.

38 North berkata gambar terbaru adalah ‘luar biasa dan sudah pasti merupakan satu komponen penipuan dan usaha propaganda Korea Utara pada keseluruhannya’ dan hasil laporan media yang menyiarkan aktiviti bola tampar sebelum ini.
Korea Utara mempunyai misi untuk menghasilkan peluru berpandu jarak jauh yang berupaya sampai ke AS dengan kepala peluru nuklear, dan setakat ini telah melancarkan lima ujian nuklear, dua di antaranya pada tahun lalu.
Punggye-ri ialah sebuah kompleks terowong dan infrastruktur ujian di kawasan pergunungan di timur laut negara.
38 North berkata pada bulan lalu Punggye-ri ‘sudah bersedia’ untuk menjalankan ujian, di tengah spekulasi meningkat bahawa Pyongyang akan bertindak serentak dengan ulang tahun besar termasuk hari lahir pengasas rejim Kim Il-Sung. – AFP