SEOUL, KOREA SELATAN, 28 DIS – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un membentangkan rancangan baharu untuk memperkukuh lagi kuasa ketenteraannya tahun depan semasa mesyuarat pegawai tertinggi politik, lapor media kerajaan hari ini, sebagai tanda dia akan meneruskan pertunjukan senjata provokatifnya.
Kenyataan Kim dibuat ketika keberangan dengan pesaing Korea Selatan meningkat minggu ini dengan Selatan menuduh Utara menerbangkan dron merentasi sempadan buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.
Tahun ini, Korea Utara sudah melakukan sejumlah ujian peluru berpandu dalam apa yang pakar gelar sebagai percubaan untuk memodenkan senjatanya dan meningkatkan pengaruhnya dalam urusan masa depan dengan Amerika Syarikat.
Semasa sesi kelmarin dalam mesyuarat pleno Parti Pekerja, Kim menganalisis cabaran keselamatan baharu dalam politik antarabangsa dan di Semenanjung Korea dan menjelaskan prinsip dan arahan yang perlu diambil dalam hubungan luar dan memerangi musuh untuk melindungi kepentingan dan kedaulatan negara, menurut Agensi Berita Pusat Korea rasmi (KCNA).
Kim “menetapkan matlamat utama baharu untuk memperkukuh keupayaan pertahanan sendiri untuk diteruskan pada 2023 di bawah situasi perubahan pelbagai hala,” menurut KCNA, tanpa mengulas lanjut.
Sesetengah pemerhati berkata matlamat baharu itu boleh dikaitkan dengan kempen Kim untuk mengembangkan senjata nuklearnya dan memiliki sistem senjata berteknologi tinggi seperti peluru berpandu berbilang kepala peledak, senjata jarak jauh yang lebih tangkas, satelit pengintip dan dron canggih.
Mereka berkata Kim berhasrat untuk menggunakan kuasa nuklearnya untuk memaksa pesaingnya menerima Utara sebagai negara nuklear yang sah, status yang difikirkannya penting untuk menarik balik sekatan antarabangsa.
Pada Isnin, tentera Korea Selatan melepaskan tembakan amaran dan melancarkan jet pejuang dan helikopter, selepas mengesan apa yang digelarnya, lima dron Korea Utara mencabul ruang udara Selatan.
Korea Selatan juga menerbangkan tiga dron melintasi sempadan sebagai tindak balas, ujar Menteri Pertahanan Lee Jong-Sup memberitahu penggubal undang-undang hari ini. – AP









