Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kimberly mahu tingkatkan tahap kesukaran terjunan

    KUALA LUMPUR, 2 APRIL – Penerjun wanita Malaysia, Kimberly Bong yakin mampu meningkatkan tahap kesukaran terjunannya menjelang Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, bulan depan, meskipun agak kesuntukan masa.

    Bagi penerjun Sarawak itu, tiada yang mustahil untuk beliau beraksi sekurang-kurangnya pada tahap kesukaran 3.0 dalam acara 3 meter papan anjal wanita di temasya dwitahunan itu.

    Selepas beraksi pada tahap kesukaran antara 1.0 meter dan 2.5 meter sebelum ini, Kimberly mahu mencabar dirinya dengan mencuba terjunan baharu bagi meraih lebih banyak mata daripada pengadil.

    “Ia mungkin mengambil masa untuk saya berbuat demikian tetapi saya sedang berusaha ke arah itu dan jurulatih juga menggalakkannya.

    Justeru, pemenang pingat perak Sukan SEA 2021 bagi acara 1 meter papan anjal wanita itu meletakkan sasaran untuk melakukan sekurang-kurangnya dua terjunan baharu daripada lima pusingan di Phnom Penh nanti.

    Mengenai persembahannya hari ini, Kimberly mengakui agak gementar untuk bertanding dalam acara hari ini kerana ini merupakan kejohanan pertamanya sejak November lepas.

    Sementara itu, pelajar pengurusan sukan Universiti Malaya itu berharap dapat mengelak daripada sebarang kecederaan serius menjelang temasya itu.

    Terdahulu, Kimberly yang mewakili pasukan negara mengumpul 280.55 mata untuk muncul tempat pertama, manakala rakan sepasukannya, Ong Ker Ying meraih perak dengan 252.80 mata dan Alycia Lim dari Singapura melengkapkan podium dengan 171.30 mata.

    Kejohanan tiga hari itu dijadualkan berakhir esok. – Bernama

    Kimberly Bong mempersiapkan dirinya menjelang Sukan SEA 2023. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda