Kimmich dinasihat ambil vaksin COVID-19

BERLIN, 28 OKT – Bintang Bayern Munich, Joshua Kimmich dinasihatkan untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19 oleh pemangku Menteri Dalam Negeri selepas pemain itu mencetuskan perdebatan apabila mendedahkan enggan mengambil suntikan berkenaan.

“Fikir sekali lagi dan ambil vaksin,” kata Horst Seehofer, salah seorang menteri kanan di bawah kerajaan pimpinan Angela Merkel yang ditujukan khas kepada Kimmich.

“Awda adalah seorang personaliti dengan perwatakan yang boleh dicontohi. Jika awda mengambil vaksin, orang lain akan melakukan perkara sama.”

Kimmich yang menggalas tugas kapten pada kempen kelayakan Piala Dunia, mencetuskan perbualan hangat selepas dia mendedahkan enggan mengambil vaksin kerana ‘kebimbangan peribadi’.

Dalam satu temu ramah bersama akhbar harian Jerman, Bild, Seehofer menggesa Kimmich memikirkan semula pendiriannya.

Pakar perubatan mengkritik pendirian Kimmich apabila mendakwa mengabaikan peranannya sebagai contoh kepada rakyat Jerman yang begitu menggilai bola sepak.

“Joshua Kimmich pakar dalam bola sepak, bukannya pakar dalam soal vaksin,” kata Thomas Mertens, pengerusi Suruhanjaya Tetap Vaksinasi Jerman, Stiko. – AFP