XIAOMI telah mengumumkan telefon pintar peringkat pertengahannya yang terkini di Thailand iaitu Redmi Note 6 Pro.
Pengganti Redmi Note 5 Pro, Redmi Note 6 Pro baharu ini didatangkan dengan kemas kini penting seperti tetapan dua kamera selfie, paparan 19:9 dengan takuk, penambahbaikan sensor-sensor kamera belakang, paparan lebih besar sedikit dan ciri-ciri berasaskan AI.
Bagaimanapun, ia masih dikuasakan pemproses Snapdragon 636 yang sama seperti model sebelumnya.
Secara terperinci, Xiaomi Redmi Note 6 Pro menggunakan MIUI berasaskan Android 8.1 Oreo dan menampilkan paparan skrin penuh IPS LCD full-HD+ 6.26 inci dengan nisbah bidang 19:9, nisbah skrin ke rangka dan perlindungan Corning Gorilla Glass.
Peranti ini dikuasakan SoC lapan teras Qualcomm Snapdragon 636 14nm, dipadankan dengan GPU Adreno 509, RAM 4GB dan storan dalaman 64GB yang boleh ditambah menerusi kad mikroSD (sehingga 128GB).
Daripada segi kameranya, Xiaomi Redmi Note 6 Pro mempunyai dua kamera belakang dengan sensor utama 12MP dan sensor kedua 5MP dengan autofokus Dual Pixel, 1.4-mikron piksel dan AI portrait 2.0.
Di depan juga terdapat dua kamera depan dengan sensor utama 20MP dan sensor kedua 2MP, dipadankan dengan 4-in-1 super pixel dan keupayaan AI face unlock.
Seperti model sebelumnya, terdapat bateri 4,000mAh yang didakwa mampu bertahan sehingga dua hari dengan sekali cas penuh.