Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Kini hanya tinggal sebuah kenangan’

    NAMEGATA, JEPUN – Foto pudar kanak-kanak tersenyum masih menghiasi dinding tangga di sekolah rendah Ashigakubo, satu daripada ribuan yang telah ditutup di Jepun dengan populasi semakin meningkat tua sejak 20 tahun lalu.

    Sekolah itu, yang berusia lebih satu abad, terpaksa ditutup pada 2009 apabila puluhan kanak-kanak terakhir meninggalkan sekolah untuk menyertai sekolah yang lebih besar ‘kerana mereka tidak dapat mencari kawan’, beritahu Datuk Bandar Yoshinari Tomita kepada AFP.

    Taman permainan telah dirobohkan selepas menjadi berbahaya kerana kekurangan penyelenggaraan dan kolam renang kini digunakan oleh itik dan pepatung.

    Namun bahagian tertua sekolah itu, yang dibina pada tahun 1903, telah dipulihara, dengan pihak berkuasa tempatan berusaha menghidupkan semula bilik darjah kayu yang penuh nostalgia itu.

    Wang awam tersedia untuk membantu majlis perbandaran menguruskan sekolah lama dan menggunakan semula bangunan yang tidak digunakan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti mereka.

    Gambar menunjukkan boneka berpakaian sebagai tokoh sejarah Jepun dipamerkan di muzium ubi keledek yang didirikan dalam sebuah bilik darjah bekas sekolah rendah di Namegata, wilayah Ibaraki. – AFP
    Seorang pekerja menyediakan pencuci mulut ubi keledek di sebuah bengkel di Kampung Petani Namegata, wilayah Ibaraki yang menggunakan bekas bangunan sekolah rendah. – AFP
    Seorang kakitangan dewan perbandaran berjalan melintasi karya seni kanak-kanak di bekas Sekolah Rendah Ashigakubo di bandar Yokose, Chichibu, wilayah Saitama. – AFP
    Rumput dan lalang tumbuh di perkarangan bekas Sekolah Rendah Ashigakubo di bandar Yokose, wilayah Saitama. – AFP
    Gambar lama disematkan di papan kenyataan di sebuah dewan bekas Sekolah Rendah Ashigakubo. – AFP
    Bilik darjah kosong di bekas Sekolah Rendah Ashigakubo. – AFP
    Gambar AFP

    ‘GEMBIRAKAN PENDUDUK’

    Premis Ashigakubo menganjurkan bengkel ibu bapa dan anak setiap minggu dan kadang-kala disewa untuk penggambaran, acara permainan kostum – di mana peminat berpakai- an seperti watak permainan – atau seminar perniagaan.

    Dan lokasi itu menguntungkan: bandar Yokoze tahun lepas memperoleh 200,000 yen. Sebelum wabak, ia membawa lebih banyak keuntungan lagi.

    Ia juga boleh berfungsi sebagai pusat pemindahan sekiranya berlaku bencana alam, selepas dinaiktarafkan kepada piawaian yang diperlukan pada 2019.

    Bagi bandar yang mempunyai kira-kira 7,800 penduduk ini yang kewangannya semakin berkurangan bersama-sama dengan penduduknya, bangunan sekolah Ashigakubo terlalu berharga untuk tidak dikekalkan.

    “Saya mahu mencari cara untuk menggunakan semula (sekolah) yang menggembirakan penduduk berhampiran,” kata Datuk Bandar Tomita.

    8,580 SEKOLAH DITUTUP

    Jepun mempunyai penduduk kedua tertua di dunia selepas Monaco.

    Ia mempunyai 14.4 juta kanak-kanak di bawah umur 15 tahun, hampir 11.5 peratus daripada jumlah penduduk dan empat juta kurang berbanding pada awal tahun 2000an.

    Antara tahun 2002 dan 2020, 8,580 buah sekolah awam ditutup, menurut Kementerian Pendidikan.

    Daripada 7,400 sekolah yang masih berdiri pada 2021, 74.1 peratus sedang digunakan semula dan hanya 2.9 peratus dijangka dirobohkan.

    Angka-angka ini, bagaimanapun, mengelirukan kerana hanya sebahagian bangunan digunakan semula, seperti di Ashigakubo.

    PENYU, REKOD DAN UBI KELEDEK

    Sebuah bekas sekolah di wilayah Kochi telah menjadikan kolam renangnya sebagai akuarium oleh pertubuhan bukan untung yang menjaga penyu.

    Sebuah sekolah lagi di Mie menempatkan kedai vinil dengan kira-kira 40,000 rekod di dua bilik darjah.

    Di bandar Namegata, populasi menurun sebanyak 20 peratus kepada sekitar 30,000 antara 2009 dan 2023.

    Bilangan kanak-kanak menurun lebih satu pertiga dan bilangan sekolah dikurangkan daripada 22 kepada tujuh.

    Salah sebuah sekolah Namegata yang tidak digunakan telah dibeli oleh sebuah syarikat yang telah mengubahnya sejak 2015 menjadi taman riadah pertanian, yang menampilkan kedai produk ladang dan bengkel masakan.

    Mengganti tempatnya ialah muzium yang didedikasikan untuk ubi keledek, makanan istimewa tempatan yang digemari, termasuk sebagai pencuci mulut.

    “Ini membuatkan penduduk gembira, mewujudkan pekerjaan dan meneruskan pengeluaran ubi keledek istimewa tempatan,” kata Tetsuro Kinoshita, pengurus di ‘Kampung Petani Namegata’.

    “Ini adalah salah satu kes contoh penggunaan semula sekolah di negara ini,” kata Datuk Bandar, Shuya Suzuki.

    Ideanya adalah untuk “menjadikannya sesuatu yang bersifat peribadi dan penting kepada penduduk, dikaitkan dengan rantau ini, kerana sekolah itu telah lama menjadi lambang masyarakat”, katanya.

    Tetapi sekolah lama lain di Namegata, terlalu mahal untuk diubah suai, perlu dirobohkan.
    “Kerja-kerja ini mahal dan kita tidak boleh melakukannya tanpa sokongan negeri,” kata Suzuki.

    “Dan kami tidak mempunyai banyak masa, kerana tempoh subsidi adalah terhad. Ia amat sukar untuk diuruskan, tetapi kami tidak mempunyai pilihan lain.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda