Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kira-kira 1,300 lari ke Thailand selepas pertempuran tercetus di Myanmar

    BANGKOK, 21 APRIL – Kira-kira 1,300 orang telah melarikan diri dari timur Myanmar ke Thailand, kata pegawai kelmarin, ketika pertempuran baru meletus di sebuah bandar sempadan yang baru-baru ini ditawan oleh gerila etnik.

    Pejuang dari etnik minoriti Karen minggu lalu menawan pos terakhir tentera Myanmar di dalam dan sekitar Myawaddy, yang dihubungkan ke Thailand melalui dua jambatan merentasi Sungai Moei.

    Pertempuran terbaru tercetus pada waktu pagi apabila gerila Karen melancarkan serangan terhadap tentera Myanmar yang bersembunyi berhampiran Jambatan Persahabatan Thailand-Myanmar ke-2, titik persimpangan utama untuk perdagangan dengan Thailand, kata ketua polis Pittayakorn Phetcharat di daerah Mae Sot di Thailand. Beliau menganggarkan kira-kira 1,300 orang melarikan diri ke Thailand.

    Pegawai Thaiand melaporkan orang ramai mula menyeberang sejak hari Jumaat berikutan pertempuran di beberapa kawasan Myawaddy.

    Kejatuhan Myawaddy adalah kemunduran besar bagi tentera yang merampas kuasa daripada kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih pada 2021. Angkatan bersenjata Myanmar yang dahulunya berkuasa telah mengalami beberapa siri kekalahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak Oktober lalu, kehilangan sebahagian besar wilayah termasuk pos sempadan kepada kedua-dua pejuang etnik, yang telah berjuang untuk autonomi yang lebih besar selama beberapa dekad, dan unit gerila pro-demokrasi yang mengangkat senjata setelah pengambilalihan tentera.

    Pertempuran, yang melibatkan serangan dron daripada tentera Karen dan serangan udara oleh tentera Myanmar, telah reda menjelang tengah hari kelmarin berbanding pagi, tetapi ketua polis Mae Sot, Pittayakorn Phetcharat berkata beliau masih boleh mendengar bunyi tembakan sekali-sekala. Beliau berkata pihak berkuasa Thailand akan memindahkan orang ramai yang melarikan diri ke kawasan yang lebih selamat.

    Rakaman dari sempadan Thailand menunjukkan askar Thailand menjaga kawalan berhampiran jambatan dengan bunyi letupan dan tembakan di latar belakang.

    Orang ramai dengan kanak-kanak mengharungi sungai dengan barang-barang mereka dan diterima oleh pegawai Thailand di tebing sungai. Beberapa orang dilihat berteduh di bangunan di sepanjang tebing sungai di sebelah Myanmar.

    Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin menulis di platform media sosial X, kelmarin, bahawa beliau memantau dengan teliti keadaan di sempadan.

    “Saya tidak mahu melihat sebarang pertembungan seperti itu memberi kesan kepada integriti wilayah Thailand dan kami bersedia untuk melindungi sempadan dan keselamatan rakyat kami. Pada masa sama, kami juga bersedia memberikan bantuan kemanusiaan jika perlu,” tulisnya.

    Pada bulan Mac, Thailand menyampaikan kumpulan pertama bantuan kemanusiaannya kepada Myanmar untuk kira-kira 20,000 orang yang kehilangan tempat tinggal.

    Nikorndej Balangura, jurucakap Kementerian Luar Negeri, memberitahu pemberita pada hari Jumaat bahawa Thailand sedang berusaha untuk mengembangkan inisiatif bantuannya. – AP

    Orang ramai menyeberangi sungai Moei ketika mereka melarikan diri dari perbandaran Myawaddy di Myanmar ke pekan Mae Sot di wilayah Tak, Thailand, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda