BANGKOK, 20 APRIL – Kira-kira 200 orang etnik Karen telah melarikan diri dari pertempuran di Myanmar dan menyeberangi sempadan ke Thailand, menurut kenyataan pegawai sempadan Thailand kelmarin.
Pertempuran hebat sedang berlaku di negeri Karen di timur Myanmar, yang bersempadan dengan Thailand, di mana militia etnik tempatan bertempur dengan junta tentera yang merampas kuasa dalam kudeta pada tahun 2021.
Konflik empat tahun di seluruh Myanmar telah menyebabkan perpindahan besar-besaran, mendorong puluhan ribu orang melarikan diri ke negara jiran, Thailand.
Menurut Mejar Jeneral Maitree Chupreecha, komander unit sempadan Tentera Naresuan Thailand, kira-kira 200 orang etnik Karen melarikan diri ke Thailand pada Jumaat dan Sabtu akibat serangan bom dan pergolakan awam yang berlaku hanya beberapa kilometer dari sempadan di wilayah Myanmar.
“Penduduk di sana ketakutan akibat operasi pengeboman dron yang menyasarkan tentera,” katanya, menyebabkan sebahagian daripada mereka menyeberangi Sungai Moei ke wilayah Tak.
“Kira-kira 200 orang… mula tiba sejak petang semalam,” katanya lagi, sambil mengesahkan bahawa mereka adalah daripada kalangan etnik Karen.
Mereka yang menyeberang telah ditempatkan di pusat perlindungan sementara oleh Pasukan Petugas Ratchamanu, menurutnya, satu kenyataan yang turut disahkan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi unit tentera Thai berkenaan.
Maitree turut memberi amaran bahawa lebih ramai pelarian mungkin akan menyeberangi sempadan dan pihak berkuasa merancang untuk menghantar mereka pulang apabila keadaan keselamatan kembali stabil. – AFP
