MUNICH, 25 MAC – Hampir satu daripada setiap empat pekerja di Jerman bekerja dari rumah sekurang-kurangnya untuk sebahagian daripada waktu kerja mereka, menurut satu tinjauan yang diterbitkan kelmarin.
Situasi itu walaupun terdapat usaha oleh beberapa majikan untuk menggalakkan kakitangan kembali bekerja di pejabat selepas berakhirnya pandemik COVID-19, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kajian oleh ifo Institute yang berpangkalan di Munich mendapati bahawa pada Februari, 24.5 peratus pekerja di Jerman bekerja dari rumah, meningkat daripada 23.4 peratus pada Ogos 2024.
Angka itu pada dasarnya tidak berubah sejak April 2022.
“Kami tidak melihat sebarang bukti dalam data yang menunjukkan bekerja dari rumah semakin berkurangan,” kata penyelidik ifo, Jean-Victor Alipour.
“Bekerja dari rumah telah menjadi amalan tetap. Langkah berasingan oleh syarikat untuk membawa pekerja mereka kembali ke pejabat tidak membentuk satu trend yang dapat dikenal pasti secara statistik,” tambahnya.
Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan syarikat yang berdepan tekanan ekonomi semakin mengehadkan hak untuk bekerja dari rumah. “Langkah sedemikian juga boleh mendorong peletakan jawatan secara sukarela,” kata Alipour. – Bernama
