Tuesday, October 22, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kira-kira 3,200 isi rumah terlibat KTK

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi sedang mengendalikan Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2024 yang bermula pada 14 Oktober hingga 10 November ini.

    Sehubungan dengan itu, menurut kenyataan JPES, kira-kira 3,200 buah isi rumah di seluruh negara akan terlibat dalam KTK 2024 ini serta turut membabitkan temu duga bersemuka menggunakan kaedah Computer Assisted Personal Interview (CAPI).

    Tujuan KTK 2024 adalah untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai saiz, struktur, taburan dan ciri-ciri tenaga kerja, pekerjaan, pengangguran dan lain-lain ciri-ciri ekonomi penduduk. Maklumat itu akan digunakan dalam membantu perancangan, penyelidikan dan penyediaan dasar tenaga kerja.

    Dalam pada itu, pegawai-pegawai kajian akan mengunjungi tempat-tempat kediaman untuk mengumpulkan maklumat yang diperlukan seperti nombor kad pengenalan setiap ahli isi rumah serta maklumat lain termasuk pendidikan, pekerjaan dan sebagainya.

    Bagi memastikan proses berjalan dengan lancar, isi rumah yang terpilih diingatkan untuk terlebih dahulu mengesahkan identiti pegawai kajian dengan membuat pemeriksaan pas kajian, surat lantikan, kad pengenalan dan ves rasmi JPES.

    Pegawai kajian semasa melaksanakan tugas. – GAMBAR SERAHAN JPES

    Isi rumah yang mempunyai haiwan peliharaan, terutamanya anjing disarankan untuk menempatkan haiwan peliharaan di tempat yang bersesuaian bagi tujuan keselamatan pegawai kajian semasa melaksanakan lawatan.

    Hasil yang diperolehi melalui KTK 2024 akan dapat memberikan sumber maklumat yang penting bagi kegunaan perancangan sosioekonomi negara.

    Selain itu, hasil KTK itu juga boleh digunakan oleh pihak sektor swasta, akademia, penyelidik, penuntut dan orang ramai bagi keperluan dan kegunaan masing-masing.

    KTK 2024 dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 dari Undang-undang Negara Brunei Darussalam.

    JPES ingin memberikan jaminan kepada semua isi rumah terpilih dalam kajian tersebut bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan sulit dan akan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.

    Menurut Seksyen 9 Akta Perangkaan, kegagalan atau keengganan untuk memberikan maklumat yang diperlukan atau memberikan maklumat palsu adalah menjadi satu kesalahan yang membawa hukuman denda sebanyak $4,000.

    Justeru itu, kerjasama semua isi rumah terpilih adalah penting bagi memastikan data tenaga kerja yang tepat melalui KTK.

    Sebarang pertanyaan mengenai KTK 2024 ini bolehlah dirujuk ke JPES menerusi nombor talian 7469844 semasa waktu pejabat atau e-mel info.statistics@jpes.gov.bn atau layari laman sesawang deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda