LUANDA, 14 MAC – Kira-kira 50 orang maut di Angola selepas dipaksa meminum ramuan herba untuk membuktikan mereka bukan ahli sihir menurut kenyataan polis dan pegawai tempatan hari ini.
Kejadian tragis itu berlaku antara Januari dan Februari berhampiran bandar tengah Camacupa, menurut Luzia Filemone, seorang ahli majlis tempatan.
Bercakap kepada penyiar radio kebangsaan, dia menuduh pengamal perubatan tradisional yang menyediakan ramuan itu.
“Lebih 50 mangsa dipaksa meminum cecair misteri ini yang menurut pakar perubatan tradisional, membuktikan sama ada seseorang itu mengamalkan ilmu sihir atau tidak,” kata Filemone.
Kepercayaan terhadap ilmu sihir masih berleluasa di sesetengah masyarakat luar bandar, walaupun mendapat tentangan kuat daripada gereja di bekas jajahan Portugis yang kebanyakannya beragama Katolik.
Kematian itu disahkan oleh polis, di mana 50 orang telah terbunuh.
“Ini adalah amalan yang meluas untuk memaksa orang meminum racun kerana kepercayaan kepada ilmu sihir,” kata jurucakap polis wilayah, Antonio Hossi kepada penyiar, memberikan amaran bahawa kes-kes semakin meningkat.
Angola tidak mempunyai undang-undang terhadap amalan ilmu sihir, membenarkan komuniti itu untuk menangani isu tersebut mengikut cara mereka sendiri.
Tuduhan mengamalkan ilmu sihir selalunya diselesaikan oleh pengamal perubatan tradisional, atau marabouts, dengan memaksa tertuduh meminum minuman herba beracun yang dipanggil Mbulungo. Kematian dianggap sebagai bukti kesalahan. – AFP