Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kisah Ame, si Spiderman penghibur Teluk Intan

    TELUK INTAN – Menjadi penghibur jalanan dengan mengenakan kostum adiwira bukanlah keputusan yang mudah, segalanya bermula apabila Nasmeruddin Zulkifli kehilangan pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 yang mencengkam negara, tiga tahun lepas.

    Nasmeruddin, 31, atau lebih mesra disapa Ame ketika itu buntu bagaimana mahu menampung kehidupan keluarganya bersama sepasang anak yang berusia lima dan dua setengah tahun.

    “Berbekalkan modal kira-kira RM100, saya membeli kostum Spiderman menerusi platform beli-belah Shopee. Idea tercetus kerana anak saya amat meminati watak komik ini.

    “Mengetepikan perasaan malu, saya sarung kostum bermaterial getah itu, panas memang panas, namun demi meneruskan hidup saya tekad menjadi penghibur jalanan dengan gelagat saya sebagai Spiderman,” katanya ketika ditemui Bernama.

    Enggan mengalah dengan keadaan, sebaik sahaja syarat PKP dilonggarkan, Nasmeruddin menjadi penghibur jalanan bersama seorang rakan yang menyarung kostum badut dikenali sebagai Mr Minggu yang menarik perhatian kanak-kanak di Dataran Menara Condong.

    Nasmeruddin berkata setiap kali melakukan aktiviti itu, dia dapat meraih RM30 hingga RM50 sehari, namun kadangkala nasib tidak menyebelahinya apabila ada ketika yang dia tidak mendapat pendapatan langsung. – Bernama
    Nasmeruddin berkata sehingga kini dia memiliki lima kostum Spiderman pelbagai warna dan merancang untuk membeli kostum watak itu berwarna hitam bagi mengikuti perkembangan semasa adiwira itu dalam filem terkini. – Bernama

    “Saya bersyukur, watak Spiderman telah menjadi ‘penyambung nyawa’ ketika saya kehilangan mata pencarian, anak-anak menjadi pencetus semangat saya untuk terus mencari rezeki walau apa jua pekerjaan,” katanya yang menjadikan aktiviti itu sebagai sambilan sementara mendapat kerja tetap.

    Nasmeruddin berkata pada mulanya dia agak malu dan tidak selesa apabila terpaksa berada dalam pakaian itu selama enam hingga tujuh jam, namun kegembiraan kanak-kanak dan pengunjung yang sudi bergambar dan beramah mesra dengannya, membuatkan pekerjaan itu menyeronokkan serta memuaskan hatinya.

    “Saya tidak meletakkan sebarang kadar dan pengunjung yang mahu bergambar boleh membayar dengan seikhlas hati. Jika ada rezeki lebih saya akan membeli coklat atau jajan untuk disedekahkan kembali kepada kanak-kanak yang sudi bergambar dengan saya,” katanya.

    Nasmeruddin berkata setiap kali melakukan aktiviti itu, dia dapat meraih RM30 hingga RM50 sehari, namun kadangkala nasib tidak menyebelahinya apabila ada ketika yang dia tidak mendapat pendapatan langsung.

    “Jika ada hasil, bolehlah saya tampung perbelanjaan harian keluarga atau beli barang permainan untuk anak-anak, bagi saya ini pekerjaan juga selagi saya tidak meminta sedekah atau langsung tidak berbuat apa-apa,” katanya.

    Kini, walaupun dia telah mendapat pekerjaan tetap di sebuah kilang di Teluk Intan, aktiviti itu tetap diteruskan untuk menambah pendapatan dan dia akan ke Dataran Menara Condong atau Dataran Bagan Datuk pada Jumaat, Sabtu dan Ahad selepas bekerja kilang, untuk menghiburkan pengunjung terutama kanak-kanak.

    “Saya amat berterima kasih kepada pengunjung di Teluk Intan dan Bagan Datuk sama ada dari luar atau dalam Perak kerana menyokong saya selama ini, saya gembira melihat mereka begitu teruja untuk bergambar dengan Spiderman ini,” katanya.

    Nasmeruddin berkata sehingga kini dia telah memiliki lima kostum Spiderman pelbagai warna dan merancang untuk membeli kostum watak itu berwarna hitam bagi mengikuti perkembangan semasa adiwira itu dalam filem terkini.

    Dalam pada itu, Nasmeruddin juga perlu menjaga berat badannya agar kostum yang dipakainya sentiasa muat dan selesa. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...