Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Kisah anak ditinggalkan ibu di Jepun

    KUMAMOTO, JEPUN – Dalam beg galas kecil warna biru Koichi Miyatsu tersimpan kemeja corak kartun berlipat kemas dan sepasang kasut sniker putih – itulah saja yang ada pada dirinya sebelum dia meninggalkan satu-satunya ‘hospital yang menawarkan tempat untuk anak damit baru lahir yang tidak mampu dijaga oleh ibu mereka’ di Jepun.

    Dia baru sahaja belajar berjalan bertatih-tatih apabila dia diletakkan dalam katil kecil di sebuah hospital di wilayah selatan Jepun, Kumamoto, di mana kanak-kanak boleh ditinggalkan tanpa nama oleh keluarga yang terdesak.

    “Ia adalah beberapa baju yang saya pakai apabila saya ditinggalkan di sana,” beritahu Miyatsu, 18 tahun, kepada AFP.

    “Baju berkenaan adalah kenangan paling lama saya tentang masa kanak-kanak saya…oleh itu saya amat menghargainya sejak itu.” Pada tahun ini, Miyatsu menjadi individu pertama yang bercakap di khalayak ramai di Jepun mengenai pengalaman ditinggalkan dalam katil anak damit di hospital berkenaan, yang pertama dibuka pada 2007, mengikut contoh dalam program yang dilancarkan di Jerman.

    Komennya telah menghidupkan semula perdebatan mengenai skim yang disifatkan oleh penyokong sebagai jalan terakhir yang diambil oleh ibu-ibu tersisih namun dikritik oleh pembangkang sebagai menggalakkan pengabaian anak damit.

    Seorang kakitangan menunjukkan bilik yang menempatkan katil anak damit di hospital Jikei. – AFP
    Koichi Miyatsu bercakap kepada AFP mengenai sehelai kemeja dan sepasang kasut sniker miliknya yang diletakkan di ‘katil anak damit’ di sebuah hospital semasa temu bual di Kumamoto. – AFP
    Koichi Miyatsu semasa ditemu bual oleh AFP di rumahnya di Kumamoto. – AFP

    Bagaimanapun bagi Miyatsu, tidak timbulnya persoalan.

    “Pada hari saya ditinggalkan di sana adalah hari saya memulakan kehidupan baharu saya,” ujar pelajar tahun pertama universiti.

    “Saya terhutang segala yang saya ada pada hari ini kepada katil anak damit itu.”

    Hospital Jikei yang dikendali oleh Katolik di Kumamoto melancarkan program untuk menyediakan satu alternatif kepada mereka yang bergelut untuk menjaga dan tidak mampu mencari penyelesaian formal seperti memberikan anak mereka untuk dijaga oleh orang lain.

    Menurut mereka, ia boleh mengelak penderaan malah kematian kanak-kanak, dan dalam tempoh 15 tahun, 161 anak damit dan budak telah ditinggalkan dalam katil di hospital berkenaan.

    Sejurus selepas Miyatsu ditemui duduk dengan pandangan tidak mengerti pada wajahnya dalam katil anak damit itu, dia diambil oleh Yoshimitsu dan Midori Miyatsu di kawasan terpencil Kumamoto. Ibu bapa kepada lima anak kandung, pasangan itu juga telah mengambil 30 kanak-kanak lain untuk dijadikan anak angkat dan tidak teragak-agak untuk menjaga Miyatsu.

    “Saya fikir bidadari telah dihantar kepada kami,” kata Yoshimitsu, 65, merujuk kepada ketibaan Miyatsu.

    Pasangan itu telah lama menyokong program Jikei, setelah menyaksikan secara langsung kesusahan yang dialami oleh kanak-kanak angkat lain, termasuk keluarga dengan ibu bapa yang telah bercerai, kelakuan yang tidak dapat diterima atau delinkuen, bergelandangan dan kehamilan yang tidak dijangka.

    “Pernah sekali seorang budak perempuan yang sarat mengandung tanpa wang mendapatkan bantuan kami pada satu hari sejuk dingin pada Disember…maka kami tahu terdapat budak-budak di luar sana yang memerlukan tempat seperti ini,” kata Midori, 63. Miyatsu adalah antara kanak-kanak pertama yang ditinggalkan di katil anak damit hospital berkenaan, dan dia ditemui tanpa sebarang dokumen yang menunjukkan nama, umur ataupun tempat lahirnya.

    “Saya tidak mempunyai sebarang ingatan pada masa saya ditinggalkan…tetapi imej pintu katil sudah terpahat dalam kenangan saya,” katanya. Kira-kira setahun selepas ditinggalkan, dia ternampak sekeping gambar katil anak damit dalam sebuah akhbar, kata Midori.

    “Dia beritahu kami, ‘saya pernah berada di sana.’ Pada masa itulah kami sedar dia masih ingat tentang tempat dia ditinggalkan.” Dia diberikan satu nama oleh pegawai tempatan, dan umurnya ditentukan berdasarkan ujian DNA. Penjagaan pada awal adalah sukar, kerap dibelenggu mimpi ngeri dan hisap jari.

    Namun pasangan suami isteri itu tidak pernah menyembunyikan kisah lampaunya, dan secara beransur-ansur, trauma yang dialami Miyatsu kian berkurangan.

    Beberapa tahun kemudian, dia mendapat tahu mengenai asal-usulnya, termasuk ibu kan-dungnya terbunuh dalam kemalangan jalan raya lima bulan selepas dia lahir. Dia menyimpan gambar ibunya dalam bingkai, yang mempunyai rambut keriting sepertinya, dan berkata dia rasa ibunya ‘sedang menjaganya dari syurga.’

    “Saya akan memberitahunya bahawa saya sudah besar dan berusia 18 tahun sekarang, dan saya ingin menjalani kehidupan yang bermakna tanpa ibu di sisi.”

    Setiap bulan, Miyatsu menyediakan makanan percuma kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di sebuah gereja tempatan dan dia berhasrat bekerja dengan kanak-kanak pada masa depan, dan mungkin menjadi bapa angkat kepada budak-budak tanpa ibu bapa.Dia berharap dengan menceritakan kisahnya akan ‘membuka pintu kepada kanak-kanak lain yang ditinggalkan dalam katil anak damit untuk tampil ke depan dan menyebarkan mesej mereka kepada orang ramai,’ menyifatkan pengalamannya sebagai mengatasi ‘perasaan kompleks tentang diri saya sendiri.’

    “Namun walaupun sekiranya terdapat beberapa elemen yang hilang, ia tidak mengubah siapa diri saya pada hari ini. Saya tidak fikir identiti saya harus didorong oleh kehidupan awal saya,’ ujarnya.

    “Hidup selepas katil anak damit adalah jauh lebih penting.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...