Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kisah cinta Mimi, Syafiq merimaskan?

    Pelakon Mimi Lana terkilan dengan pelbagai komen negatif dilemparkan warganet mengenai hubungannya bersama aktor Syafiq Kyle yang dipercayai sudah kembali bertaut.

    Mimi yang meluahkan perkara itu di Instagram (IG) mengakui sedar mengenai komen negatif diterima apabila ada individu menganggap kisah percintaan mereka yang menjadi sorotan media sejak akhir-akhir ini agak merimaskan.

    Bagaimanapun, pelakon berusia 28 tahun itu menyifatkan urusan mengenai jodohnya adalah di bawah aturan Allah.

    “Saya ada terbaca segelintir individu yang rimas dengan berita mengenai hubungan saya kerana sekejap jadi, kemudian tidak.

    “Ada yang sampai keluarkan kata-kata dan doa tidak baik terhadap saya. Urusan jodoh, ajal dan maut ini bukanlah dalam tangan saya.

    Syafiq dan Mimi pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga pada 18 Ogos 2023, namun majlis perkahwinan itu dibatalkan. – Majoriti

    “Terdetik dalam hati saya, mereka yang mempersoalkan urusan hubungan saya seolah-olah mempersoalkan kerja Tuhan,” tulis Mimi.

    Mimi atau nama penuhnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin memberitahu, dia tidak berniat menjadikan kisah percintaannya sebagai tatapan umum.

    “Kami manusia biasa, sama seperti semua orang diuji dengan pelbagai dugaan. Biarlah ujian ini kami simpan sebaik-baiknya dan tidak dicanang kerana yakin kami sudah berusaha untuk menjadi manusia lebih baik daripada semalam.

    “Kalau tidak ditanya, kami sendiri tak mahu bercakap soal hubungan cinta kepada orang ramai.

    “Kami tidak dapat menepis setiap kali keluar dan ditanya oleh rakan-rakan media, namun saya menghormati mereka. Mungkin urusan jodoh mereka dipermudahkan oleh Allah,” tulisnya.

    Pada masa sama, Mimi turut memohon maaf sekiranya cerita mengenai hubungan percintaannya mengganggu kehidupan seharian mana-mana pihak.

    “Maafkan kami jika berita mengenai kehidupan peribadi menggangu urusan harian kalian semua,” tulis Mimi yang ketika ini sedang mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda