Penyanyi Naim Danial nekad menamatkan kisah cinta selepas empat tahun menyulam bahagia.
Enggan mendedahkan identiti wanita yang pernah bertakhta di hatinya, Naim berkata, keputusan melepaskan perhubungan adalah jalan terbaik.
“Saya memutuskan untuk meninggalkan hubungan empat tahun kerana saya perlu memberi ruang untuk mencari diri sendiri.
“Saya tidak pasti berapa lama masa yang diperlukan untuk membuat keputusan, tetapi saya yakin itu adalah pilihan terbaik,” katanya.
Naim membuat pendedahan itu ketika ditemui pada acara House Party XO House, baru-baru ini.
Menurut Naim, dia terpaksa akur apabila hubungan cinta tidak berpihak kepadanya walaupun kecewa dengan ujian berlaku.
“Hidup perlu diteruskan kerana saya bukanlah jenis akan pegang atau menunggu seseorang. Kalau sudah bukan jodoh dan rezeki, nak buat macam mana lagi.
“Ada sedikit rasa kecewa, tapi apapun sekarang saya tak mahu fikir lagi. Fokus saya untuk bangkit dan melangkah ke hadapan pada 2025,” katanya.
Dalam masa sama, Naim terbuka untuk mengenali kehadiran orang baharu, selain bersedia melangkah ke fasa seterusnya, lapor BH Online.
“Siapa sahaja yang hadir, insyaAllah saya terbuka menerimanya. Buat masa sekarang, saya masih single, tetapi tidak mencari. Ini kerana fokus saya lebih kepada apa yang sedang dilakukan saat ini.
“Kini, baru saya mula merasakan seru untuk berkahwin, sesuatu yang sebelum ini tidak pernah muncul.
“Kita tak pernah tahu bila waktu akan tiba, tetapi apabila ia sampai, saya yakin akan menjadi orang paling bahagia,” katanya yang bakal tampil dengan single baharu berjudul Lelaki Gila. – Agensi