Friday, February 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kisah duka, cabaran getir bagi pelarian Rohingya

    LHOKSEUMAVE, INDONESIA – Sekumpulan penduduk Rohingya menceritakan dibelasah oleh penyeludup serta meminum air kencing mereka sendiri untuk terus hidup dalam perjalanan empat bulan di laut sehingga diselamatkan berhampiran pantai Indonesia.

    Mangsa yang selekeh dan basah-kuyup, kira-kira 100 kesemuanya, kebanyakan wanita dan kanak-kanak, menceritakan pengalaman yang menggerunkan di laut bergelora yang melihat mereka membuang rakan mereka yang sudah mati ke laut tatkala bot usang mereka hanyut beribu-ribu kilometer menuju ke Malaysia.

    Dua mangsa yang terselamat mendakwa penyeludup manusia yang dibayar untuk menghantar mereka telah memukul Rohingya yang kemudiannya dipindahkan ke sebuah bot baharu dan ditinggalkan di laut.

    Mereka diselamatkan oleh nelayan di Indonesia dan ditarik ke pantai oleh penduduk tempatan pada keesokan harinya, beribu-ribu kilometer ke selatan Bangladesh.

    “Kami banyak menderita dalam bot tersebut,” beritahu Rashid Ahmad, 50, kepada AFP di pusat tahanan imigresen di bandar Lhokseumave di pantai utara Sumatra.

    Kanak-kanak Rohingya dari Myanmar melihat keluar dari pagar pusat tahanan imigresen di Lhokseumave, Indonesia pada 26 Jun 2020. – AFP
    Nelayan Aceh membantu memindahkan seorang kanak-kanak dan wanita dari Myanmar ke pantai di kampung Lancok, Aceh Utara, Indonesia. – AFP

    Penduduk Rohingya dari Myanmar menunggu bantuan di pusat tahanan imigresen di Lhoksuemave, Indonesia. – AFP

    “Mereka menyeksa dan mencederakan kami. Malah salah seorang kami sudah mati.

    “Pada mulanya terdapat makanan tetapi apabila makanan sudah habis mereka memindahkan kami ke sebuah bot lain dan seterusnya membiarkan kami hanyut sendirian,” tambahnya.

    Seorang lagi mangsa, Habibullah berkata: “Mereka memukul semua orang dengan teruk. Telinga saya dilukakan dan saya dipukul di kepala.”

    AFP tidak dapat mengesahkan kisah keempat-empat anggota kumpulan minoriti Islam itu, yang berkata mereka bertolak pada awal tahun ini berhampiran sebuah kem pelarian Rohingya di Bangladesh, bersebelahan dengan negara mereka di Myanmar.

    Mangsa Ziabur Rahman bin Safirullah, 35, berkata kumpulan mereka hidup dengan memakan nasi dan kacang sementara banyak bergantung pada air hujan.

    “Ada kalanya kami memerah kain basah dan meminum air daripadanya,” katanya, menambah mereka yang mati dibuang ke dalam laut.

    Korima Bibi berkata sekurang-kurangnya dua orang meninggal dunia dalam perjalanan dan sesetengah mangsa meminum air kencing untuk hidup, apabila orang lain jatuh sakit akibat laut bergelora.

    “Kami tidak mendapat makanan dan air yang cukup,” kata wanita berusia 20 tahun, “namun kami bertahan.”

    Di kalangan kira-kira 100 orang dalam kumpulan itu adalah 48 wanita dan 35 kanak-kanak. Mereka bertolak dari kem pelarian Balukhali di selatan Bangladesh, tetapi pada asalnya dari Negeri Rakhine di Myanmar, menurut mangsa yang terselamat dan kisah yang diceritakan kepada Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM).

    Jurucakap untuk kumpulan itu memberitahu IOM bahawa seorang wanita telah mati dalam perjalanan, meninggalkan dua orang anaknya.

    Tiga kanak-kanak lagi, dua di antara mereka adik-beradik, dan seorang budak perempuan berusia 10 tahun tidak mempunyai teman. Kumpulan itu juga termasuk seorang wanita mengandung, menurut IOM.

    Menurut IOM, penyeludup mengenakan setiap seorang AS$2,300 untuk membawa mereka ke Malaysia.

    Kira-kira satu juta Rohingya tinggal dalam kem pelarian yang penuh sesak dan kotor di Bangladesh, di mana penyeludup manusia juga mengendalikan operasi menguntungkan dengan janji akan mencari tempat tinggal di luar negara.

    Indonesia, negara dengan penduduk Muslim terbesar di dunia, dan negara jiran Malaysia merupakan destinasi pilihan untuk Rohingya yang melarikan diri daripada penindas dan keganasan di Myanmar.

    Beribu-ribu pelarian cuba melarikan diri menerusi penyeludup untuk mengadakan perjalanan laut yang berisiko setiap tahun.

    Kira-kira 1,400 Rohingya telah terkandas di laut setiap tahun dan sekurang-kurangnya 130 di antara mereka telah meninggal, menurut angka IOM.

    Minggu lau, seorang pegawai pengawal pantai Malaysia berkata puluhan Rohingya dipercayai mati dalam perjalanan berbulan-bulan lamanya menuju ke negara itu.

    Bot itu pada asalnya mempunyai lebih 300 orang yang dipintas oleh pihak berkuasa pada bulan ini, dengan 269 mangsa diberikan tempat perlindungan sementara. Negara jiran sebelum ini membenarkan Rohingya mendarat dan ramai yang tinggal di sana. Namun pegawai telah mengusir mereka dalam beberapa bulan ini, bimbang mereka mungkin membawa koronavirus.

    Kebimbangan tersebut jelas kelihatan apabila mangsa Rohingya ditarik ke pantai oleh penduduk tempatan yang marah pada pihak berkuasa yang enggan memberikan mereka tempat perlindungan disebabkan kebimbangan COVID-19.

    Mereka menghabiskan malam beberapa ratus meter dari luar pesisir, menunggu keputusan mengenai sama ada mereka boleh mendarat.

    Pihak berkuasa akhirnya berlembut – satu tindakan yang disambut sebagai satu kemenangan oleh kumpulan hak. Kesemua mereka telah diuji negatif dijangkiti koronavirus, kata pegawai tempatan. Namun nasib kumpulan itu masih tidak pasti.

    “Sebagai seorang umat Islam, saya rasa kasihan pada mereka, terutamanya disebabkan terdapat ramai kanak-kanak dan wanita, hati saya berasa pilu,” kata penduduk Lhokseumave Saiful Hardi.

    “Saya berharap kami akan terus membantu mereka sebagai saudara Islam.” Keputusan tersebut adalah terpulang kepada kerajaan, bermakna nasib yang tidak terjamin untuk mangsa seperti Bibi, 20 tahun.

    “Kamu menyelamatkan kami, jadi ribuan terima kasih diucapkan,” katanya.

    “Kini terpulanglah kepada anda.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda