Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kisah hitam di perantauan, terjerat di alam mistik

    Mata ke-6, Kuala Lumpur –

    KUALA LUMPUR – Kisah ini merupakan sebuah kisah hitam yang membawa aku selamanya ke dalam kegelapan.

    Lebih kurang 20 tahun yang lalu, aku pernah merantau ke Bangkok, Thailand untuk bekerja di sana. Jiwa muda, tidak puas rasanya bekerja di negara sendiri. Bak kata orang, merantaulah sementara masih muda, sementara tulang empat kerat masih kuat.

    Malam itu semasa aku sedang bertugas datang seorang rakan aku yang berketurunan Melayu Patani, MJ panggilannya. Fasih pertuturan melayunya hampir sama dengan dialek orang Kelantan di Pantai Timur Malaysia. Sejak kebelakangan ini hampir setiap malam dia gemar untuk datang ke blok kawasan aku bertugas. Katanya di sini lebih tenang tidak seperti di tempatnya.

    Mulanya aku fikirkan dia tidak tenang kerana biliknya berdekatan dengan bunyi bising mesin-mesin di sana, rupanya dia memberitahu aku yang dia seringkali terlihat kelibat dan bau wangi di biliknya terutama menjelang tengah malam.

    Aku memang susah untuk mempercayai benda-benda mistik dan karut ini. Mana tidaknya, sejak kecil lagi aku selalu sahaja menemani ayah aku ke sungai menangkap ikan, kadangkala sampai ke tengah malam. Alhamdulillah belum pernah lagi diganggu atau terserempak dengan perkara-perkara pelik dan mistik ini.

    Foto Canva

    MJ seringkali meyakinkan aku tentang apa yang dialaminya itu benar sehinggakan dia mahu membawa aku berjumpa seseorang yang katanya mampu untuk membuka deria ke-6, iaitu deria yang membolehkan aku melihat dan merasai sesuatu tanpa menggunakan deria-deria normal manusia atau dalam ertikata lain membuka hijab mata. Aku sama sekali tidak mempercayainya dan bersetuju untuk berjumpa dengan orang yang dimaksudkannya itu.

    Waktu hampir menunjukkan jam 10 malam. Hari itu aku cuti. Malam itu MJ membawa aku ke sebuah perkampungan di Krathum Rai yang jaraknya lebih kurang 1 jam dari tempat kami. Setibanya di rumah tersebut, aku melihat persekitaran rumah tersebut dipenuhi dengan patung-patung Siam tidak lari seperti tokong-tokong Siam yang banyak aku lihat di sekeliling Bangkok. Aku membiasakan diri seolah-olah tiada apa yang perlu dihairankan.

    Tiba-tiba muncul seorang lelaki dalam lingkungan umur lewat 50-an menyapa kami. MJ bercakap sesuatu dengan lelaki tadi dalam dialek mereka yang aku hanya faham sepatah dua perkataan sahaja. Lantas kami berdua masuk ke rumah tersebut dan lelaki tadi tidak berhenti-henti bercakap dengan wajah yang agak serius. Aku melihat MJ hanya mengangguk-ngangguk tanda faham.

    Lelaki tadi mengeluarkan kertas kuning dan menulis sesuatu dalam tulisan Siam dan diberikan kepada MJ. Lantas dia memandang kearah aku sambil merapatkan kedua telapak tangan di dadanya. Aku hanya membalas. Setelah hampir setengah jam, aku dan MJ beredar dari rumah tersebut dan terus berangkat pulang ke Bangkok.

    Jam menunjukkan jam 1 pagi. MJ memberhentikan keretanya di sebuah kawasan perkampungan yang agak sunyi tidak jauh dari tempat kami. MJ menerangkan kepada aku apa yang diarahkan oleh lelaki tadi. Arahannya nampak pelik tetapi agak menarik bagi aku.

    Aku bersetuju dengan apa yang diterangkan tadi. Lantas MJ mengeluarkan kertas dan pen dari laci keretanya lalu menulis kembali apa yang diberikan lelaki tadi dalam terjemahan rumi.

    Dia menghulur kertas tadi ke arah aku dan meminta aku untuk menghafalnya. Aku mengambil kertas itu dan membaca setiap bait-bait perkataan dengan jelas agar MJ dapat memperbetulkan jika ada yang tersasul. Ayatnya berbunyi seperti mentera Siam, tidak panjang, ada lebih kurang dalam 10 patah perkataan tetapi agak sukar untuk dipertuturkan dengan betul.

    Setelah hampir setengah jam, setiap bait-bait perkataan tersebut dapat aku hafal dengan jelas. Arahan pertama yang perlu aku lakukan agak sukar dimana aku perlu mencari seekor anjing yang menyalak panjang seolah-olah seperti sedang menangis. Hampir dua jam mencari tetapi tidak sedikit pun kedengaran dan kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja.

    Keesokan malamnya, aku dan MJ terus ke kawasan yang sama selepas waktu bekerja tetapi pencarian kami hampa. Sehingga hampir 2 minggu kami ke sana, malam itu kedengaran bunyi salakan anjing yang begitu sayup sepertimana yang dijelaskan. MJ segera memandu keretanya ke arah bunyi tersebut.

    Aku turun dan memberanikan diri mendekati seekor anjing hitam lantas memberinya sebatang sosej agar dia bertenang. Seperti yang diminta, aku mancalit kedua ibu jari aku ke arah kedua bahagian bawah mata anjing tadi lalu mencalit pula ke arah mata aku secara bersilang. Tetapi jelas tiada apa-apa pun yang berlaku.

    Setelah itu, MJ membawa pula aku ke satu simpang tiga tidak jauh dari tempat tadi dan katanya di simpang ini dahulu pernah berlakunya satu kemalangan maut melibatkan seorang wanita tua. Dia meminta aku untuk melakukan arahan seterusnya.

    Aku berdiri di tengah-tengah simpang tiga tadi sambil menunduk melihat ke arah belakang melalui celah kelangkang aku sambil membacakan ayat yang diberikan lelaki tempoh hari.

    Terkumat-kamit mulut aku mengulangi ayat tersebut sehinggalah tiba-tiba kepala aku terasa berat lalu aku rebah.

    Mata aku tiba-tiba terasa amat berat. Aku membuka mata perlahan-lahan dan tersedar aku sedang berbaring di suatu tempat. Terpinga-pinga aku seketika sebab aku tidak pasti aku berada di mana. Terlihat seorang budak yang samar-samar rupanya mengintai aku dari celah pintu bilik. Aku buat tidak endah dan terus melelapkan mata kembali.

    Kedengaran ayam berkokok memecah hening pagi. Aku tersedar sekali lagi dan kedengaran suara MJ di luar bilik seperti sedang berbual-bual dengan seseorang. Lantas aku bangun keluar dari bilik dan terlihat MJ bersama seorang wanita dalam lingkungan 50-an sedang rancak berbual-bual di ruang tamu.

    MJ memperkenalkan aku dengan makcik saudaranya dan memberitahu dia yang membawa aku ke sini kerana aku rebah tidak sedarkan diri malam tadi. Aku memandang sekeliling dan bertanya tentang budak yang aku terlihat malam tadi. Kata MJ tiada kanak-kanak di rumah itu, yang ada hanyalah makcik dan pakcik saudaranya sahaja yang tinggal berdua di situ.

    Petang itu, aku seperti biasa ke tempat kerja seolah-olah tiada apa yang berlaku malam tadi. Setibanya waktu maghrib, aku berjalan seorang diri ke kawasan belakang bangunan untuk menunaikan solat Maghrib. Maklumlah tiada surau di tempat kerja, jadi terpaksalah mencari ruang-ruang kosong yang ada untuk solat.

    Sedang aku berjalan, langkah aku tiba-tiba terasa berat. Muncul satu sosok hitam betul-betul melintas di hadapan aku. Langkah aku terus terhenti dan aku buntu seketika. Sedang aku kaku berdiri, sekali lagi sosok hitam itu melintas di hadapan aku lalu hilang. Beribu tanda tanya bermain-main di fikiran aku. Siapakah budak yang aku lihat semalam? Apakah sosok hitam yang aku nampak tadi?

    Dipendekkan cerita, sejak malam itu aku seringkali terlihat benda-benda ghaib di sekeliling aku. Ianya amat sukar untuk diterjemahkan.

    Aku dapat merasai kehadiran ‘mereka’ dan aku dapat melihat ‘mereka’, ada yang jelas, ada yang kabur dan ada juga hanya seperti cahaya. Aku hanya mampu melihat tetapi sama sekali tidak mampu untuk berkomunikasi dengan ‘mereka’.

    Aku mengadu kepada MJ tentang hal ini dan memintanya untuk membawa aku kembali berjumpa dengan lelaki tempoh hari. Malangnya MJ memberitahu aku bahawa lelaki itu pernah berpesan padanya bahawa apa yang aku alami ini sukar untuk dipulihkan semula dan ianya akan kekal.

    Semakin hari aku merasa semakin tertekan sehingga aku mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang sahaja ke Malaysia dengan harapan aku mendapat ketenangan di sana. Tetapi fikiran aku meleset. Tiada apa yang berubah walaupun aku berada di Malaysia.

    Aku terus gagah menjalani kehidupan seharian aku walaupun hidup aku setiap hari penuh dengan rasa resah gelisah. Hari silih berganti, aku seperti sudah lali dengan semua ini.

    Pelbagai ikhtiar dan rawatan yang telah aku lalui tetapi masih tiada sebarang perubahan.

    Dari pengamal perubatan Islam, pengamal perubatan tradisional, dukun, doktor sehinggalah ke pakar psikologi, semuanya menemui jalan buntu. Sehingga pernah suatu ketika aku ditahan di wad psikiatri kerana mungkin mereka fikir aku sudah tidak siuman.

    Aku redha.

    Setelah hampir 13 tahun berlalu, seorang kenalan lama yang pernah aku kenali semasa berubat kampung dahulu tiba-tiba menghubungi aku. Dia memberitahu bahawa ada seseorang yang menawarkan diri untuk membantu aku tetapi jauh nun di Sarawak sana.

    Aku amat berbesar hati dengan tawarannya itu dan sudah tentu aku tidak akan menolak.

    Aku berbincang dengan isteri aku pada masa itu lantas mengambil keputusan untuk terus ke Sarawak bertemu dengan orang yang dimaksudkan.

    Sesampai di Lapangan Terbang Kuching, aku disambut oleh Rudy, seorang lelaki berbangsa Iban yang mesra dan ramah orangnya. Rudy memandu kereta hitamnya membawa aku ke sebuah perkampungan di daerah Lundu. Sepanjang lebih kurang satu setengah jam perjalanan itu, kami berbual panjang seperti seolah-olah sudah lama kenal dan aku menceritakan apa sebenarnya yang telah berlaku.

    Katanya dia akan cuba membantu aku dengan cara perubatan tradisional yang terkenal di kalangan etnik Iban Sebuyau di sana. Jelasnya perubatan ini akan mengambil masa beberapa hari kerana terdapat beberapa peringkat dan ianya akan dilakukan oleh ‘Manang’.

    Manang bermaksud bomoh dalam etnik Iban Sebuyau ini. Aku hanya mengangguk faham.

    Lebih kurang hampir seminggu aku di sana. Aku masih ingat, pelbagai ritual dan upacara unik serta pantang larang yang perlu aku hormati bertujuan untuk menghalau roh-roh jahat dan ‘benda-benda’ lain yang sedang mengganggu dan mendampingi aku.

    Manang memberitahu bahawa dia tidak dapat mengubati aku sepenuhnya kerana ilmu Siam ini terlalu kuat dan ianya seolah-olah telah sebati dengan aku. Aku tenang mendengar dan sedikit pun tidak kecewa kerana aku memang tidak meletakkan apa-apa harapan yang tinggi. Namun keadaan sedikit membaik dimana keadaan tidak lagi seteruk dahulu. Kini aku dapat merasai dan melihat benda-benda ghaib ini di waktu-waktu dan di tempat-tempat tertentu sahaja.

    Tahun 2017, aku berhijrah ke Negara Brunei Darussalam bersama-sama dengan anak dan isteri aku untuk bekerja dan memulakan kehidupan di negara yang tenang dan damai ini.

    Namun di dalam ketenangan ini, mungkin tiada siapa yang sedar bahawa kita sebenarnya sedang berkongsi alam dengan makhluk Allah yang tidak dapat kita lihat.

    Nasihat aku cuma satu, pulanglah kalian ke rumah sebelum waktu maghrib tiba dan tutuplah tingkap dan pintu kalian serapat-rapatnya kerana ada ‘tetamu’ yang sedang menanti untuk masuk ke rumah-rumah kalian pada waktu itu.

    Aku sering melihatnya hampir setiap hari di kala waktu maghrib tiba. Sehingga ke hari ini aku masih dapat melihat apa yang telah direzekikan untuk aku dan tidak pasti bila ianya akan berakhir. Mungkin sehingga suatu hari nanti bilamana mata aku tertutup untuk selama-lamanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda