Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kisah inspirasi Phalla bantu kanak-kanak terbiar

    PHNOM PENH – Larian amal anjuran Phorn Phalla selama lapan hari dari Siem Reap ke Phnom Penh meliputi jarak yang mengagumkan iaitu sejauh 350km.

    Keazamannya bukan hanya untuk keseronokan cabaran semata-mata, tetapi juga untuk mengumpulkan dana bagi kanak-kanak di Pusat Cawangan, sebuah rumah anak yatim yang menjaga kanak-kanak yang diselamatkan dari keluarga yang berpecah.

    Pada akhir larian, dia berjaya me-ngumpulkan lebih daripada AS$40,000, memastikan 157 orang kanak-kanak yang tiada penjaga menerima makanan dan pendidikan.

    Bermula 30 Julai dan menamatkan larian di garisan penamat pada 6 Ogos lalu, perjalanan Phalla membawanya melalui pelbagai landskap di Kemboja.

    “Sebenarnya, larian saya sendiri bukanlah yang menonjol. Fokus saya sepenuhnya tertumpu kepada 157 kanak-kanak yang sangat memerlukan bekalan harian dan pendidikan,” ungkap Phalla.

    Phorn Phalla mengumpul dana untuk menyokong rumah anak yatim Pusat Cawangan di wilayah Siem Reap. – ANN/The Phnom Penh Post

    Sebagai pengarah Pusat Cawangan yang terletak di Phum Lech Wat di kawasan Komune dan daerah Kambol, komitmen Phalla melangkaui jawatannya selaku pengarah di pusat berkenaan.

    Beliau berkongsi dengan The Post bahawa misinya sebagai pengarah adalah untuk mengumpulkan dana bagi kanak-kanak di pusat tersebut, yang berada di bawah pengawasannya.

    Phalla mengenang kembali lariannya dari Siem Reap ke Phnom Penh.

    Semasa melewati kawasan-kawasan yang berbeza, beliau terharu melihat orang-orang di tepi jalan menunggu untuk menyambutnya.

    Keghairahan mereka adalah tidak dijangka terhadap usaha kemanusiaannya yang memberinya semangat, mengukuhkan keazamannya untuk mencapai matlamatnya.

    Semasa berlari, Phalla dan pasukannya berniat untuk tidur di luar. Untuk segar semula, mereka bergantung kepada kemurahan hati penduduk setempat, sering meminta air untuk mandi. Tindakan itu sendiri, melambangkan semangat perkauman yang lebih besar, memainkan peranan dalam perjalanan itu.

    Walaupun sejumlah besar AS$40,000 telah dikumpul, Phalla menekankan bahawa jumlah tersebut hanya mencakup kira-kira 70 peratus daripada perbelanjaan makanan tahunan untuk kanak-kanak.

    Angka tersebut, walaupun kelihatan besar, masih kurang. Setiap hari, pusat tersebut menggunakan 47kg beras untuk makanan dan memperuntukkan hampir AS$250 untuk beras, sayur-sayuran, ikan dan daging.

    “Bagi saya, ini bukan tentang pencapaian peribadi dalam larian. Ini tentang menjamin masa depan bagi 157 kanak-kanak di bawah jagaan saya. Mereka memerlukan bukan sahaja makanan tetapi sokongan komuniti,” jelas Phalla.

    Kini, pusat itu telah menjaga 157 kanak-kanak, termasuk 24 anak damit yang masih menyusu susu ibu.

    Anak-anak damit dan kanak-kanak kecil itu, kebanyakannya lelaki, berusia antara empat bulan hingga dua tahun. Pusat itu memiliki pasukan 15 penjaga untuk anak damit tersebut dan mempunyai jumlah kakitangan keseluruhan sebanyak 32 orang.

    Terdapat 32 kanak-kanak yang telah dewasa sedang mengejar pendidikan di peringkat universiti, dengan Phalla telah menemui penaja-penaja yang murah hati untuk setiap satu daripada mereka.

    “Visi kami tidak berhenti pada pendidikan menengah atau tinggi untuk mereka,” Phalla memberi isyarat.

    “Ketakutan saya ialah jika mereka memulakan keluarga tanpa pendidikan yang betul, mereka tidak akan dapat menyokong anak-anak mereka sendiri,” katanya. – ANN/The Phnom Penh Post

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda