Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Buku ‘Kisah-kisah Dalam Kenangan’ yang menceritakan kisah-kisah warga emas yang hidup pada zaman Jepun, telah dilancarkan di Inspiring Hall, Pusat Pelajar, Universiti Brunei Darussalam (UBD), semalam.
Pelancarannya telah disempurnakan oleh Pengarah Radio Televisyen Brunei, Haji Muhd Sufian bin Haji Bongsu selaku tetamu kehormat.
Turut hadir di majlis tersebut ialah timbalan dekan, pensyarah Sastera, pensyarah Linguistik dan mahasiswa-mahasiswi UBD.
Buku berkenaan merupakan tulisan Pensyarah Sastera UBD, Dr. Haji Maslin bin Jukin/Jukim dan Dr. Frank Dhont.
Ia menghimpunkan kisah-kisah daripada orang-orang yang berpengalaman iaitu warga emas yang lahir pada zaman Jepun dengan menceritakan tatacara kehidupan mereka dahulu dengan Komunis Jepun dan sebagainya.
Semasa majlis perasmian, video mengenai rakaman pendek juga disiarkan mengenai bagaimana isi buku tersebut diperolehi daripada warga emas yang hidup pada zaman tersebut.
Dengan adanya buku berkenaan, ia diharap akan dapat memberikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat sekarang agar kisah dahulu tidak ditelan zaman dan memberikan peluang kepada generasi akan datang untuk membuat kajian terhadap sejarah dahulu.