Tuesday, December 17, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kisah Penyu Belimbing diabadikan melalui filem dokumentari

    PHANG NGA, THAILAND – Sudah lewat tengah malam di sebuah pantai di selatan Thailand dan Prin Uthaisangchai, budak berusia 12 tahun dengan cemas menatap sarang penyu belimbing, menunggu puluhan anak penyu yang terancam keluar dari dalam pasir.

    Pelajar sekolah menengah Bangkok itu sedang menghasilkan sebuah dokumentari pendek mengenai penyu belimbing, di bawah program yang dikelola oleh Yayasan Alam Sekitar dan Sosial, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja untuk mendidik kanak-kanak tentang pelestarian alam.

    Pagi itu, sekumpulan ahli biologi laut mendapati pasir yang menutupi salah satu sarang penyu belimbing di pantai Phang Nga mulai tenggelam dengan sendirinya.

    Itu adalah petanda yang jelas bahawa telur yang tertimbus di dalamnya mulai retak dan pada bila-bila masa malam itu, anak penyu akan muncul dan bergegas menuju ke laut dalam keadaan gelap.

    Namun setelah lebih daripada 20 jam tanpa sebarang tanda-tanda anak penyu, Prin dan kumpulannya mulai berasa bimbang.

    Dengan memakai sarung tangan plastik, mereka dengan hati-hati menggali sarang tersebut untuk membantu setiap anak penyu yang menggeliat-geliut keluar dari dalam pasir dengan selamat.

    Tidak lama kemudian, anak penyu kecil itu merangkak menuju pantai berombak, sekali gus membawanya ke rumah baharu di laut.

    “Saya berasa sangat kecewa kerana kami perlu campur tangan dalam hal kehidupan semula jadi yang sepatutnya tidak memerlukan bantuan manusia,” ujar Prin.

    “Namun pada akhirnya, kami terpaksa membantu,” tambah Prin.

    Kembali semula ke pantai
    Penyu belimbing – penyu laut terbesar di dunia yang boleh mencecah berat sehingga 500 kilogram merupakan spesies yang jarang ditemui di Thailand disebabkan kehilangan habitat, pencemaran plastik dan telur penyu yang dimakan.

    Haiwan tersebut disenaraikan sebagai spesies rentan secara global di Senarai Merah Persatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa, dengan banyak populasi kecil dianggap amat terancam.

    Pandemik membenarkan penyu tersebut untuk merampas kembali pantai yang biasanya dipenuhi oleh pelancong, sehingga ahli biologi laut mencatat peningkatan dalam jumlah sarang penyu belimbing di beberapa pantai.

    Perlindungan yang lebih baik untuk penyu belimbing juga membantu. Thailand melarang pemburuan telur penyu pada tahun 1982, dan penduduk setempat sekarang diberikan hadiah 20,000 baht (AS$570) untuk melaporkan sarang penyu belimbing – seperti sarang yang diperhatikan dengan teliti oleh Prin di bawah cahaya bulan.

    Namun hanya 87 anak penyu daripada 126 telur di sarang tersebut yang berjaya melakukan perjalanan singkat ke laut.

    “Keputusan untuk membantu anak-anak penyu berkenaan merupakan keputusan yang tepat, jika tidak kami akan melihat lebih banyak kematian,” kata ahli biologi laut, Hirun Kanghae dari Pusat Biologi Laut Phuket di bawah pengelolaan kerajaan.

    Prin menghabiskan dua tahun mengunjungi pantai selatan Thailand semasa cuti sekolah, menyelidiki habitat haiwan itu, menemu bual pakar dan mengejar jejak penyu di pantai-pantai.

    Filemnya yang berdurasi 10 minit, kini dalam proses diterbitkan, akan menjadi salah satu daripada 12 filem yang diterbitkan oleh Yayasan Alam Sekitar dan Sosial dengan harapan dapat memberikan kesedaran atau maklumat kepada anak-anak muda lainnya tentang haiwan laut yang terancam di negara mereka.

    “Saya suka melihat bagaimana penyu belimbing menjadi perenang yang handal dan dapat menyelam dalam perairan,” ujarnya.

    “Saya ingin menyebarkan kesedaran kepada orang di sekeliling saya dan orang lain di dunia untuk mendengar kisah penyu belimbing, mengapa ia bakal pupus.” – AFP

    Prin ‘Por’ Uthaisangchai membantu anggota Jabatan Sumber Laut dan Pantai Thai mengendalikan anak penyu belimbing sebelum dilepaskan di Pantai Banh Khwan di wilayah Phang Nga, Thailand. – AFP
    Pelajar Sekolah Antarabangsa Thailand dirakam ketika menyelam untuk meninjau habitat penyu belimbing di Taman Negara Thai Mueang, wilayah Phang Nga. – AFP
    Aksi pelajar yang mengambil bahagian dalam program Yayasan Alam Sekitar dan Sosial semasa penggambaran pada akhir lawatan pemuliharaan di Taman Negara Thai Mueang. – AFP

    Pelajar Prin ‘Por’ Uthaisangchai (tengah) bersedia untuk menyelam dan meninjau habitat penyu belimbing di Taman Negara Thai Mueang di wilayah Phang Nga, Thailand. – AFP
    Prin ‘Por’ Uthaisangchai (dua kanan) bersama pengasas Yayasan Alam Sekitar dan Sosial, Alongkot Chukaew (tiga kanan) memberikan penjelasan tentang tingkah laku penyu kepada rakan sekelasnya sebelum melepaskan penyu di pantai Bang Khwan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda