Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Kisah pilu kanak-kanak gempa bumi

    ANTAKYA, TURKIYE, 8 FEB – Anak damit baru lahir dikeluarkan daripada runtuhan bangunan dan bapa yang memangku anak perempuannya tidak lagi bernyawa adalah antara pemandangan menyayat hati di tapak kejadian gempa bumi dahsyat di Syria dan Turkiye hari ini, yang setakat ini telah meragut lebih 11,000 nyawa.

    Sejak gempa 7.8 magnitud itu melanda, penyelamat telah bekerja keras dalam cuaca beku untuk mencari mangsa terkubur dalam runtuhan di kedua-dua negara itu.

    Secara rasminya, angka kematian akibat bencana itu kini berjumlah 8,500 orang di Turkiye dan 2,600 di Syria, membawa jumlah keseluruhan kepada 11,100 orang – namun ia kemungkinan berganda jika kebimbangan pakar menjadi kenyataan.

    Ketua Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran masa kesuntukan untuk beribu-ribu lagi mangsa yang cedera dan mereka yang masih terperangkap dalam runtuhan.

    Bagi Mesut Hancer, penduduk di bandar Kahramanmaras, berhampiran pusat gempa di Turki, ia sudah terlambat.

    Dia duduk di atas serpihan runtuhan yang membeku, terlalu sedih untuk menuturkan kata dan enggan melepaskan tangan anak perempuannya berusia 15 tahun yang sudah pun tidak bernyawa di bawah runtuhan konkrit dan keluli berserakan.

    Di bandar dikawal pemberontak, Jindayris, Syria pula, kegembiraan menyelamatkan anak damit baru lahir bertukar kepiluan apabila tali pusat anak damit itu masih melekat pada ibunya yang terbunuh dalam bencana itu.

    “Kami mendengar suara semasa menggali,” kata Khalil al-Suwadi, saudara kanak-kanak itu memberitahu AFP. “Kami menggali serpihan dan menemui anak damit yang masih berpusat dan sepupu saya membawanya ke hospital,” tambahnya.

    Masa depan anak damit itu juga mungkin sukar memandangkan dia satu-satunya mangsa terselamat dalam kalangan keluarganya. Ahli keluarganya yang lain dikebumikan kelmarin. – AP

    Anak damit lahir di bawah runtuhan gempa yang melanda Syria dan Turkiye menerima rawatan di dalam inkubator di sebuah hospital kanak-kanak di bandar Afrin, wilayah Aleppo, Syria, 7 Februari. – AP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...