Masalah kebimbangan melampau atau anxiety yang dihidapi oleh salah seorang sahabat memberi penyanyi Izzrin Irfan inspirasi menghasilkan lagu terbaharunya berjudul Sakit Tiada Bererti.
Izzrin atau Muhammad Izzrin Irfan, 21, berkata, lagu berkenaan bukan sahaja didedikasikan buat sahabatnya itu tetapi berharap dapat membantu sesiapa sahaja mengharungi masalah berkaitan kesihatan mental.
“Lagu ini saya dapat ilham daripada kisah sahabat saya sendiri yang mengalami masalah anxiety kesan daripada beberapa masalah peribadi.
“Keadaannya boleh dikatakan agak teruk juga dan saya sering menjadi tempat dia mengadu masalah dan daripada situ saya dapat inspirasi menghasilkan Sakit Tiada Bererti.
“Saya harap lagu ini juga dapat memberi inspirasi kepada sesiapa juga yang turut mengalami masalah sama,” katanya kepada wartawan.

Dalam pada itu, Izzrin berkata, dia turut berasa bangga dengan single terbaharunya ini kerana ia adalah ciptaannya sendiri.
Proses menggubah lagu berkenaan kata Izzrin mematangkan lagi kemahirannya menghasilkan melodi dan lirik yang puitis.
“Saya dapat nasihat dan sokongan daripada pengurus untuk menggubah sendiri lagu tersebut dan Alhamdulillah atas dorongan itu saya berjaya menghasilkannya.
“Apabila diberi kepercayaan seperti itu saya sebagai penggubah lagi dapat buat keputusan tentang melodi dan lirik yang saya mahukan,” jelasnya.
Izzrin yang sebelum ini pernah tampil dengan Aku Terima Nikahnya berharap lagu terbaharunya itu dapat lolos dalam Anugerah Juara Lagu.
“Impian saya agar lagu ini dapat diterima baik pendengar dan sebagai pencipta lagu sudah tentu saya mahu lihat ia dapat menjadi finalis Anugerah Juara Lagu,” ujarnya yang turut memanfaatkan 1.3 juta pengikut di TikTok bagi mempromosikan lagunya. – Agensi