Friday, May 9, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kisah telefon bimbit yang pecah dan seni latte

    Oleh C. Vinoothene

    KUALA LUMPUR – Jika bukan disebabkan telefon bimbitnya pecah, Irvine Quek Siew Lhek, 21, mungkin tidak menyedari beliau mempunyai potensi untuk menjadi juara seni latte dunia.

    Quek diambil bekerja sebagai barista untuk membancuh teh susu (milk tea) di Sri Petaling semasa beliau baru berusia 15 tahun, tetapi selepas beberapa bulan, beliau terpaksa berhenti daripada kerja sambilan itu kerana perlu menyeimbangkan antara sekolah dan kerja.

    “(Bagaimanapun) semasa usia saya 16 tahun, telefon bimbit saya pecah dan saya perlukan yang baharu. Jadi saya pergi balik ke kedai ‘milk tea’ itu, yang ketika itu telah berkembang menjadi sebuah kedai kopi bernama ‘103 Coffee Workshop’ (untuk mencari kerja). Ketika itulah saya mula belajar tentang kopi,” katanya kepada Bernama.

    Quek berkata beliau suka bekerja di kedai itu dan mahu berhenti sekolah, namun bimbang kalau-kalau keluarganya tidak bersetuju kerana beliau merupakan anak tunggal.

    Bagaimanapun, beliau berazam untuk memperkembangkan kerjayanya berkaitan kopi dan meneruskan minat dalam seni latte (hiasan menggunakan buih halus bagi minuman berasaskan ekspreso) dengan menumpukan kepada apa yang “saya minati dan ilmu itu pula tiada dalam buku.”

    Quek diambil bekerja sebagai barista untuk membancuh teh susu (milk tea) di Sri Petaling semasa beliau baru berusia 15 tahun. – Agensi

    Beliau berkata: “Pengurus saya nampak keghairahan dalam diri saya dan banyak membantu dalam memenuhi impian saya. Saya bertuah kerana mendapat seorang mentor iaitu seorang konsultan kopi dari Johor Bahru yang membantu mempertingkatkan kemahiran saya.”

    Quek berkata sungguhpun telah berhenti sekolah, beliau menghadiri kelas untuk menggilap kemahiran, mempertingkatkan pengetahuan tentang kopi dan belajar mengenai penghakiman, untuk menjadi seorang barista yang bagus.

    Beliau amat terhutang budi kepada pengurusnya yang banyak memberi galakan sehingga membawa kepada kemenangannya dalam  Ristr8to World Latte Art Battle 2017 semasa berumur 19 tahun, disusuli dengan World Latte Art Championship 2018 di Brazil dan World Latte Art Battle 2019 di Korea Selatan baru-baru ini.

    Quek berkata beliau mengambil bahagian dalam lebih 30 pertandingan dan usaha untuk melakar nama dalam seni latte itu bukanlah perjalanan yang mudah.

    Mengimbau kembali pengalaman pertamanya menyertai pertandingan, beliau berkata: “Saya berkeyakinan tinggi, tapi sayangnya, lepas itu tangan saya mula menggeletar dan saya tak dapat teruskan.”

    Beliau berkata kegagalan menjadi pengajaran baginya untuk menjadi barista yang lebih baik. “Kejohanan antarabangsa pertama yang saya sertai ialah di Chiang Mai (Thailand) dan saya bersaing dengan barista terkenal dunia. Saya rasa sangat gementar dan saya tahu, masih banyak yang perlu saya pelajari.

    “Kemenangan itu amat indah. Saya bukan sahaja berjaya mengalahkan peserta dari negara seperti Taiwan, Thailand dan Korea yang memegang rekod dalam seni latte, tetapi membuka mata keluarga betapa bermaknanya perkara ini kepada saya.”

    Sebagai tambahan kepada kejayaannya, Quek baru-baru ini mengeluarkan rangkaian barangan yang turut mengandungi jag pembuih susu ‘Nasty Jug’, yang membantunya mempromosi budaya meminum kopi selain menyertai lebih banyak pertandingan untuk terus mengharumkan nama Malaysia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda