Oleh Raz AS
Pernahkah awda membeli akuarium baharu, mengisikannya dengan air yang telah dinyah klorin, memasangkan sistem tapisan dan pengudaraan serba baharu, kemudian mengisinya dengan hidupan air seperti ikan hiasan atau krustasea untuk dipelihara, namun tidak lama setelah itu ia mati setelah beberapa hari sahaja?
Adakah ia disebabkan oleh penyakit atau ikan tersebut tidak ‘tahan pukul’?, kebarangkaliannya ya. Tetapi kemungkinan yang lebih besar lagi adalah awda tidak melakukan proses ‘kitaran’ untuk akuarium tersebut sebelum memasukkan ikan. Apakah yang dimaksudkan dengan proses ‘kitaran’ ini dan kenapa ia adalah langkah penting yang tidak patut ditinggalkan?
Proses ‘kitaran’ atau kitaran nitrogen secara khasnya adalah bagaimana cara alam semula jadi mengitar nutrisi. Pada tahap yang sangat tinggi, bakteria dan tumbuhan menukar dan mengambil nitrogen yang ada di dalam air, ikan memakan bakteria dan tumbuhan manakala bakteria dan tumbuhan pula menggunakan bahan buangan ikan sebagai sumber nutrisinya.
Bermula daripada bahan buangan selain najis ikan, seperti sisa makanan dan tumbuhan reput, ia akan mengeluarkan ammonia yang akan terus terkumpul sehingga mencecah tahap ‘bahaya’. Sehinggalah bakteria berfaedah yang memakannya mula bercambah. Bakteria ini akan hadir secara semula jadi di dalam akuarium awda dan semakin banyak bilangannya semakin cepatlah ia memakan ammonia yang ada.
Untuk mengetahui akan kehadiran bakteria ini di dalam akuarium awda, memerlukan penggunaan strip ujian ammonia. Apabila tahap ammonia di dalam air mula menurun ini bermakna awda telah memasuki langkah kedua dalam proses kitaran.

Nitrit ini juga adalah berbahaya bagi ikan awda, tetapi sebaik sahaja ia meningkat akan wujud pula bakteria berfaedah kedua yang akan memakan nitrit seperti mana proses yang berlaku pada bakteria pemakan ammonia tadi. Semakin banyak bilangannya, semakin cepat ia memakan nitrit dan menukarnya kepada nitrat yang selamat kepada ikan.
Bagaimanakah cara untuk memulakan proses kitaran ini agar akuarium awda selamat untuk didiami ikan?
Cara paling senang adalah dengan hanya mengisikan seekor ikan dalam akuarium tersebut.
Ikan yang paling sesuai adalah daripada jenis yang kurang sensitif atau tahan lasak. Dalam masa beberapa minggu atau bulan makanan ikan hanya akan ditambah secara perlahan-lahan agar tahap ammonia di dalam air tidak meningkat secara mengejut sehinggalah bakteria berfaedah mula terhasil.
Cara kedua, adalah dengan mengisikan akuarium awda dengan tumbuhan hidup, tetapi ini memerlukan pengetahuan dalam penjagaan tumbuhan akuatik seperti sistem pencahayaan, substrat dan pembajaan. Tumbuhan dapat menukar buangan nitrogen dengan lebih efektif.
Meskipun begitu proses mengisi ikan juga perlu dilakukan perlahan-lahan dan ujian dilakukan untuk mengetahui tahap ammonia, nitrit dan nitrat.
Cara terakhir adalah melakukan proses kitaran tanpa ikan. Ini memerlukan awda membiarkan akuarium tersebut berfungsi tanpa dimasukkan sebarang ikan sehingga proses kitaran selesai.
Oleh itu sumber ammonia seperti makanan ikan dan lain-lain akan dimasukkan ke dalam akuarium sehingga bakteria berfaedah terhasil.
Kerana ia akan memakan masa yang lama, disyorkan untuk memacu pertumbuhan bakteria berfaedah dengan menggunakan media tapisan yang sudah lama digunakan.