Saturday, November 23, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kitar semula sisa buangan jadi aiskrim, piza

    LOS GATOS, CALIFORNIA – Di kedai ais krim Tyler Malek, sampah seorang tukang masak boleh jadi hidangan sejuk cef yang lain.

    Ketua pembuat aiskrim di Salt & Straw yang berpangkalan di Portland, Oregon itu menggunakan sisa dadih susu daripada pembuat yogurt di negeri New York untuk membuat perisa dadih lemonnya. Untuk susu barli coklat, dia mencampurkan sisa beras dan bijirin daripada pembuatan bir untuk memberikannya rasa yang ringan dan berkrim.

    “Daripada menganggapnya sisa makanan, kita perlu memanggilnya sebagai makanan terbuang dan mula mengurangkan jumlah pembaziran yang kita lakukan,” kata Malek.

    Rangkaian kedai aiskrim Malek adalah antara yang mempelopori pergerakan kitar semula, proses mencipta produk berkualiti tinggi daripada sisa makanan. Kedai-kedai Malek dari Pacific Northwest ke Miami kini menampilkan perisa seperti ‘Cacao Pulp & Chocolate Stracciatella Gelato,’ yang diperbuat daripada sisa pulpa koko daripada pengeluaran coklat yang akan menjadi sia-sia jika dibuang.

    Ia merupakan trend yang semakin mendapat tempat ketika pengguna menghabiskan lebih banyak masa membaca label pembungkusan dan ramuan menu untuk mengetahui dari mana makanan mereka berasal dan cara ia mempengaruhi alam sekitar.

    Teresa Chang (kiri) merakam gambar ketika pemilik Shuggie’s Trash Pie, Kayla Abe, menyajikan piza Feta Trash Pie di restoran di San Francisco. – Gambar AP
    Pelbagai hidangan dipamerkan di sebuah meja di restoran Shuggie’s Trash Pie di San Francisco. – Gambar AP
    Sajian The Goddess di restoran Shuggie’s Trash Pie. – Gambar AP
    Pelanggan menjamu selera di luar restoran Shuggie’s. – Gambar AP
    Cef dan pemilik Shuggie’s, David Murphy (dua kiri) dan kakitangan menyediakan makanan di dapur restoran. – Gambar AP
    Kayla Abe berdiri di restoran Shuggie’s Tras Pie. – Gambar AP
    Gambar AP

    Lebih daripada 35 juta tan (31 juta tan metrik) makanan dibazirkan setiap tahun di Amerika Syarikat (AS) – kira-kira 40 peratus daripada pengeluaran makanan negara itu – menelan belanja ekonomi negara bernilai AS$200 bilion, menurut Persatuan Makanan Kitar Semula.

    Makanan kitar semula semakin banyak digunakan dalam campuran kek dan kerepek sayuran di kedai runcit semula jadi. Bahan-bahan termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran dari ladang di seluruh negara yang boleh dimakan tetapi sering dibuang oleh restoran dan kedai runcit disebabkan bentuk atau warnanya, seperti strawberi putih, sayur-sayuran layu dan cendawan hodoh.

    Persatuan Makanan Kitar Semula, yang akan meraikan Hari Kitar Sedunia pada hari Sabtu, mengeluarkan cap rasmi ‘Diperakui Kitar Semula’ kepada produk yang layak. Cap tersebut, yang menghiasi perisa dikitar semula baharu Salt & Straw, meningkatkan kesedaran pengguna bahawa syarikat yang membuat makanan itu menggunakan bahan-bahan tersebut.

    Persatuan itu pada mulanya memperakui kira-kira 30 produk pada 2021 dan kini mempunyai 450 produk yang menggunakan label itu.

    “Banyak makanan yang tidak dimakan atau dibuang dalam rantaian bekalan kami sebenarnya disebabkan oleh piawaian kosmetik lama atau persepsi apa yang kami fikir adalah makanan yang boleh dimakan atau berkualiti,” kata Angie Crone, ketua eksekutif persatuan itu.

    “Jadi ini adalah tanda yang awda boleh lihat pada produk di mana-mana sahaja awda pergi membeli-belah, memahami bagaimana syarikat-syarikat mengurangkan sisa makanan dalam rantaian bekalan mereka.”

    Cap persatuan itu juga dipaparkan pada semua produk yang dibuat oleh Renewal Mill, sebuah syarikat berpangkalan di Oakland yang menukar produk sampingan daripada susu berasaskan tumbuhan kepada ramuan pantri seperti tepung pembakar untuk mengurangkan sisa pada peringkat pembuatan.

    “Produk pertama kami ialah sisa pulpa daripada pembuatan susu soya. Kami mengubahnya menjadi tepung bebas gluten serat tinggi yang dipanggil tepung okara,” kata pengasas bersama Caroline Cotto. “Dan kemudian kami menggunakan tepung itu untuk membuat bahan seperti adunan pembakar dan biskut sedia dimakan.”

    Tepung okara syarikat ditampilkan dalam perisa ‘Karamel Masin & Kek Cawan Okara’ baharu Salt & Straw.

    Pergerakan ini tidak terhad kepada produk kitar semula yang terdapat di kedai ais krim moden, pasar tani atau kedai runcit semula jadi. Di San Francisco, sebuah restoran yang menyajikan piza memfokuskan pada bahan kitar semula seperti cendawan hodoh, lada benggala dan tomato yang sudah berubah warna, serta potongan daging untuk menu utama seperti bebola daging lembu.

    “Saya rasa ramai orang memikirkan mengenai tong sampah atau menggunakan bahan-bahan busuk, tetapi kami mempunyai sistem makanan yang amat produktif yang menyumbang kepada satu tan sisa,” kata Kayla Abe, pemilik bersama Shuggie’s Trash Pie.

    “Sesetengah orang mungkin tidak membaca bahawa ia adalah bebola daging dan mereka mungkin hanya melihat bebola daging. Mereka memesannya dan mereka seperti, ia adalah bebola daging terbaik yang pernah saya makan dalam hidup saya.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda