Saturday, November 23, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kitaran ke-5 Kontena Park dilancar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Program Kontena Park bermatlamat untuk menjana peluang bagi usahawan makanan berbakat tempatan serta untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan mereka untuk berjaya dalam industri makanan dan minuman.

    Program itu memainkan peranan signifikan dalam memacu pembangunan ekonomi dan menyokong aspirasi usahawan makanan di Brunei serta diharap akan terus menjadi platform yang akan menggalakkan usahawan untuk memperoleh pengalaman dan mengukuhkan diri mereka sebagai jenama makanan dan minuman tempatan serta menyumbang kepada pembangunan industri makanan kita.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Pembangunan Keusahawanan, Darussalam Enterprise (DARe), Dayang Norlela binti Suhailee dalam ucapan ringkasnya semasa pelancaran kitaran kelima program Kontena Park yang berlangsung di Kontena Park, Kampung Anggerek Desa, hari ini.

    Beliau turut menyarankan kepada kumpulan lapan vendor makanan terbaharu yang menyertai kitaran kelima program itu supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan kepada mereka untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran untuk meraih kejayaan dalam perjalanan keusahawanan mereka. Pada masa yang sama, mereka juga harus memanfaatkan peluang itu sebagai sebuah ruang untuk belajar dan berinovasi.

    Di DARe, tambahnya, mereka akan meneruskan usaha untuk menyediakan para usahawan dengan platform serta sokongan yang diperlukan supaya mereka akan dapat berkembang dan berjaya di sepanjang program serta perjalanan keusahawanan mereka.

    Majlis pelancaran itu menyediakan platform yang baik bagi kumpulan vendor kitaran terbaharu program berkenaan untuk mengetengahkan dan mempamerkan hidangan kulinari mereka kepada jemputan khas di majlis itu.

    Ia juga memberikan peluang yang baik bagi mereka untuk menubuhkan rangkaian
    dengan vendor pusingan terdahulu program dan pelbagai pihak yang berkepentingan dalam industri.

    Kumpulan terbaharu yang menyertai kitaran kelima program itu adalah Pondok Qaya, Dewa Selera, My Dish by Azeem, Nad Cooks, Noaz Creation, RZ Cafe, My Dessert Diaries dan Pais Nyanyat.

    Kontena Park merupakan sebuah inisiatif di bawah DARe yang dihasratkan menjadi platform bagi usahawan makanan untuk menguji dan mengesahkan produk mereka dalam persekitaran pemasaran sebenar. Program itu menawarkan latihan dan bimbingan komprehensif serta sewa yang disubsidi bagi tempoh setahun.

    Dayang Norlela melihat lebih dekat dan mencuba sendiri makanan serta berinteraksi bersama vendor-vendor bagi kitaran kelima program Kontena Park.
    Para jemputan berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat, mencuba sendiri makanan dan berinteraksi bersama vendor-vendor bagi kitaran kelima program Kontena Park.
    Para pegawai DARe bergambar-ramai dengan para vendor kitaran kelima Program Kontena Park.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda