Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 19 Feb – Ke arah mewujudkan generasi yang progresif dan responsif serta bagi membudayakan kehidupan yang sihat, ceria dan harmoni, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiudang Tutong dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan telah mengadakan ‘Kiudangku Ceria’ di kawasan Gerai Muafakat Kampung Kiudang, Mukim Kiudang Daerah Tutong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara juga selaku Penasihat MPK Kiudang, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung.
Acara dimulakan dengan aktiviti keagamaan iaitu solat Fardu Subuh berjemaah dan Tazkirah Subuh di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel Kiudang yang dihadiri oleh Penghulu Mukim Kiudang, Haji Abdul Rahim bin Abdullah Yakin dan Ketua Kampung Kiudang, Haji Mohd Saiful bin Abdullah Anja.
Kemudian, acara dimeriahkan lagi dengan aktiviti senamrobik zumba yang diketuai oleh anggota Pasukan Polis Diraja Brunei dan diikuti dengan pelepasan Kayuhan Santai Berbasikal menyusuri kampung sejauh 8 kilometer yang disertai oleh lebih 120 orang dengan diketuai oleh Kumpulan BEST.
Pelepasan Kayuhan Santai tersebut telah disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Acara seterusnya diikuti dengan pelepasan Berjalan Santai sejauh 3 kilometer oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam yang disertai lebih 80 orang.
Program Kiudangku Ceria turut dimeriahkan lagi dengan acara Sukan Ria Keluarga yang mengetengahkan permainan-permainan tradisional seperti merambat, menarik upih kelapa dan sebagainya.
Sementara itu, aktiviti menumpah dan makan ambuyat beramai-ramai juga antara acara yang menarik minat para pengunjung di Kiudangku Ceria.
Pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga tidak ketinggalan menyertai Kiudangku Ceria dengan menjual pelbagai produk dan perkhidmatan masing-masing kepada orang ramai dan pengunjung.
Kiudangku Ceria merupakan salah satu inisiatif bagi mengungkayahkan aktiviti kemasyarakatan sesuai dengan matlamatnya bagi membantu kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.