SAN FRANCISCO, 16 SEPT – Patton Kizzire menamatkan kemarau gelaran Jelajah PGA selama lebih enam tahun dengan kemenangan bergaya di Kejohanan Procore, Silverado Resort, kelmarin. Pemain berusia 38 tahun itu mencatatkan satu eagle dan tiga birdie dalam pusingan akhir dengan catatan 70, memenangi trofi ketiga dalam kariernya dan yang pertama sejak kemenangan di Sony Open pada 2018.
“Saya rasa sangat gembira,” kata Kizzire selepas kemenangannya. “Saya telah bekerja keras dan berasa seperti tidak mencapai potensi penuh selama ini. Hebat rasanya untuk kembali ke tahap saya yang sebenar.”
Bermula dengan kelebihan empat pukulan semalaman, Kizzire menamatkan kejohanan dengan kemenangan lima pukulan di hadapan David Lipsky, setelah mencatatkan skor keseluruhan dua di bawah par pada pusingan akhir.
Selepas gagal mara ke playoff Piala FedEx bulan lalu dan terlepas dua kejohanan terakhirnya, Kizzire kini berjaya bangkit.
Di lubang kelima par lima, dia mencatat eagle selepas melakukan pukulan dari lubang di pinggir padang, tetapi bogey di lubang kesembilan dan ke-11 memberikan peluang kepada Lipsky.
Bagaimanapun, Kizzire berjaya membina semula kedudukannya dengan catatan birdie di lubang ke-12, ke-13 dan ke-15 sementara Lipsky berpuasa hati dengan satu di bawah par 71 dan jumlah keseluruhan 273 di pusi-ngan terakhir.
“David bermain dengan hebat,” kata Kizzire. “Dia memberikan tekanan, tetapi saya kekal fokus dan terus mendisiplinkan diri.
“Kemenangan ini amat menyeronokkan dan memberi kepuasan setelah lama berusaha.” – AFP